Za'ba: Mencapai Keluruhan Budi: Innaddina indallahil islam

photo credit to clipartkid.com


“Kalau pilih Islam; maka akan masuk syurga. Kalau tersilap sekalipun, Islam menjanjikan syurga untuk penganutnya. Tapi kalau pilih agama lain; kalau tersilap, agama Islam tida meredai agama lain”
- Anon*

2-3 hari ini tular mengenai buku Fattah Amin. Persetankan buku itu, Fattah juga ada peminatnya, ada crowd-nya sendiri, jadi biarkan dia. Kita yang tak suka buku semacam itu; belilah dan baca buku berkualiti. Sekadar menular dalam Facebook dan Twitter, makin ghairah buku itu mendapat sambutan. Tak demokrasi langsung kau mengutuk buku yang kau tak suka. Dan kau tak pula baca buku yang kau rasa bagus.

Baru selesai membaca Perangai Bergantung Pada Diri Sendiri karya pendeta Za’ba. Sebenarnya aku tidak pernah membaca Za’ba. Dan aku tidak tahu pun apakah keahliannya secara terperinci. Buku ini sudah berhabuk dalam rak buku aku. Apa tak nya, bulan 10 tahun lepas aku beli, baru bulan ni nak baca.

Buku ini nipis. Tak sampai 100 muka surat pun. Apabila aku menyelak halaman isi kandungan, aku mendapati Za’ba menulis mengenai agama (teologi). Dan bagi aku yang suka akan hal-hal teologi dan pemikiran, aku sangat gembira membaca bab ini. Buku ini terbahagi kepada 10 tajuk, tetapi dalam entri kali ini, aku akan menulis mengenai tajuk 1 hingga 4 sahaja yang mana berkenaan dengan agama dan ketuhanan.

Za’ba menulis dengan baik mengenai agama; mengapa perlunya agama., tujuan-tujuan agama, agama sebenar yang benar. Di sini aku ingin merangkumkan (hampir) kesemua empat tajuk ini di samping mengulas pandang buku ini dalam satu entri yang mudah dihadam.

Agama Menjadi Moral Tertinggi 


Aku pernah mengalami dark ages; di mana aku sangat skeptic dengan agama. Antara persoalan yang timbul dalam benak fikiranku ialah “tanpa agama, bagaimana seseorang dapat menjustifikasikan moral (kebaikan) yang dia lakukan tersebut itu betul?”. Persoalan itu agak lama aku fikiran sehinggalah zaman renaissance yang telah kini aku capai. Setelah membaca Mencapai Keluhuran Budi ini, Za’ba menegaskan bahawa agama mengajar empat perkara; salah satunya (1) Menyuruh percaya dan berbuat baik dan (2) melarang jangan tidak percaya dan jangan berbuat jahat.[1] Penegasan penulis dalam umum agama ini sangat bertepatan bahawa semua agama itu bertujuan untuk menjadikan manusia itu manusia. Dan secara tidak langsung, moral itu sudah distruktur oleh agama itu sendiri. Agama, adalah nasihat. Secara tidak langsung perkataan ‘nasihat’ itu membuatkan agama itu mempunyai guideline dan struktur-struktur moral tertentu. Berilah agama apa sekalipun, hampir kesemua struktur moralnya serupa. Berlainan dengan ateis yang mana menganggap moral adalah tahap absolute tertinggi. Jadi untuk menyinggung pemahaman ateisme, aku ingin bertanyakan; bagaimana seorang ateis membuktikan ‘kebaikan’ itu baik?

Agama mana yang lebih benar?


Apabila ditanyakan persoalan ini, mestilah jawapannya mengikut kepercayaan anutan masing-masing. Yang Islam akan membenarkan Islam. Yang Yahudi akan membenarkan Yahudi. Yang Kristian akan membenarkan Kristian, dan agama lain akan membenarkan agamanya. Jadi? Bagaimanakah kita ingin menetapkan siapa yang lebih benar?

Aku ada sudut pandang lain yang agak berbeza sedikit dengan Za’ba. Tetapi yang menariknya, pandangan aku ini amat bertepatan dengan penulisan Za’ba dalam buku ini. Bila aku membaca buku ini, aku makin clear dengan penerangan Za’ba.

Semua agama samawi adalah agama yang benar. Kristian, Yahudi, Islam – agama yang benar di sisi Tuhan. Jadi apa masalahnya dengan Kristian dan Yahudi sekarang? Za’ba mencoret di dalam makalah ini mengenai bagaimana Islam menjadi agama yang benar. Islam ini adalah agama yang terakhir diturunkan oleh Tuhan kepada umat manusia. Apabila turunnya Islam, disertakan sekali dengan kitab pegangan penganutnya yang diberi nama al-Quran. Al-Quran merupakan panduan agama Islam dan bagi penganutnya. Menariknya, dari tiga agama samawi ini, hanya Al-Quran yang tidak dapat diubah dari ayat pertama hingga ayat terakhir. Ayatnya dijaga rapi dari zaman nabi Muhammad hinggalah sekarang dan akan datang. Aku juga pernah digugat oleh rakanku apabila berborak di kedai kopi “amat mustahil bagi satu atau dua ayat al-Quran yang diturunkan itu tiada silapnya. Sedangkan hadis pun ada hadis palsu”.

Garu kepala juga aku nak cari jawapan masa tu. Memang aku stuck di situ. Dan tak lama kemudian persoalan itu aku bawa kepada rakanku yang lain. Beliau menerangkan bahawa orang Arab zaman dahulu sangat kuat ingatannya. Dan apabila Sayidina Uthman ingin memushafkan al-Quran, sangatlah rigid untuk memilih siapa yang layak memberi ayat-ayat al-Quran tersebut. Dan selepas satu naskhah al-Quran itu disiapkan, ‘cepisan’ al-Quran lain yang wujud pada ketika itu dilupuskan. Dan semua orang menggunakan kitab yang sama tiada bezanya. Jadi dari itulah baru copy-paste dari sumber (Resm Uthmani) yang asal. Berlainan dengan hadis yang (mungkin) mudah ditipu dan diseleweng. Sebab hadis tiada mushaf yang satu untuk dibukukan.

Walaupun begitu, terdapat juga perdebatan bilakah hadis mula ditulis dan dibukukan. tetapi apabila diamati, pembukuan hadis dibuat jauh jaraknya dari zaman nabi tu sendiri kalau mengikut kewafatan nabi pada tahun ke-11 Hijrah. Dan (Walaupun) ada pendapat popular yang mengatakan bahawa hadis nabi hanyalah dalam bentuk hafalan sehingga seratus tahun, tetapi fakta ini telah dipancung oleh seorang ulama terkenal, al-Khatib al-Baghdadi.[2]

Di sini aku tidak mahu membahaskan mengenai hadis terlalu banyak. Tetapi aku menekankan sifat fizikal al-Quran itu sendiri tidak berubah dari zaman sahabat sehinggalah sekarang. Jadi, salah satu point untuk membenarkan agama Islam, adalah menggunakan hujah ini yang mana berbeza dengan kitab agama samawi lain yang penganutnya sendiri ada yang mengaku bahawa tidak terdapat sebuah kitab yang benar-benar solid mengenai isi kandungan yang tidak diusik.

Jadi persoalan kedua timbul ialah ‘hanya kitab agama sahaja yang diusik, tapi agama tetap diturunkan oleh Tuhan yang sama’. Tuhan adalah pencipta manusia dan alam. Dia berhak mengatakan ‘ya’ dan ‘tidak’. Jadi apabila dia menurunkan al-Quran dan lantas berkata “Innaddina indallahil islam” maka dengan sendirinya agama lain sudah terhapus amalan dan ritualnya. Maksudnya, agama lain sudah menjadi tidak lagi boleh diamalkan selain agama Islam. Seorang Ketua Pencipta agama, mengatakan sedemikian, maka tidak boleh tidak adalah agama Islam adalah yang paling benar.

Aku tidak membahas ini dalam konsep kesufian. Aku menulis ini dalam konsep ketuhanan mengikut usuluddin. Sebab kalau aku buka Ibn Arabi dan lain-lain, akan menjadi lain entri ini, kerana persoalan agama makin rumit dan sangat kompleks.


Kenapa Perlu Beragama?


Pernah jumpa tak manusia yang tidak beragama lebih baik dari manusia yang beragama? Atau pernah kenal tak? Ada, ramai. Jadi, adakah agama tidak menjadi guide untuk seseorang berbuat baik? Benar, manusia dikurniakan akal. Jadi gunalah akal untuk kita tahu mana baik dan buruk. Boleh? Jadi apa guna agama?

Za’ba menjawab dalam buku ini dengan sangat menarik. Saya mencuit katanya “Sebenarnya sekalian yag dikatakan itu pada umumnya, tetapi banyak dan besar tetapinya! Sebenarnyalah manusia ada dikurniakan Tuhan akalm tetapi berapa orangkah yang dapat menggunakan akalnya dengan betul, istimewa pada perkara yang disebut oleh penyoal itu?”.[3]

Walaupun Za’ba menulis hadis palsu[4] dalam bukunya ini, tetapi aku ingin menggunakan hujah al-Quran untuk membenarkan kata-kata Za’ba. Dalam Surah Al-Mulk ayat 10 “berkata mereka (ahli neraka) kalau kami dengar dan kami guna akal, pasti kami bukan ahli neraka”. Jadi, penggunaan akal mestilah selaras dengan al-Quran. Penggunaan akal perlu untuk memikirkan mana baik dan jahat – kalau tidak, masakan sia-sia Tuhan mencipta akal dan nafsu. Akal bukanlah sumber hukum, tetapi untuk menilai sumber hukum. Yang bercanggah dengan wahyu atau sumber hukum, bukanlah akal, tetapi hawa nafsu.

Itulah sedikit sebanyak tulisan dalam entri kali ini. Mungkin bukan sebagai review. Mungkin lebih kepada penerangan kembali persoalan-persoalan yang diutarakan oleh Za’ba dalam bukunya (tajuk 1-4) tersebut. Mungkin dalam entri kali ini pun terdapat beberapa kesalahan dan perbezaan dari pembaca. Para pembaca boleh menulis persoalan mereka dan mengajukan kepada aku untuk kita sama-sama berkongsi idea dan ilmu.





*aku rasa aku ada nampak ayat ni pada mana-mana buku tetapi aku lupa buku mana. Harap kalau siapa yang jumpa quote semacam ini, tolong komen dan beritahu buku apa.
[1] Za’ba, Mencapai Keluruhan Budi, 2015, DBP, hal.2.
[2] Lihat Mohd. Muhiden Abd. Rahman, Sejarah Penulisan Dan Pembukuan Hadith: Satu Sorotan, Jurnal Usuluddin, Bil 19 [2004] 115-138.
[3] Za’ba, Mencapai Keluruhan Budi, 2015, DBP, hal.9.
[4] Maksud hadis berbunyi “agama adalah akal. Tidak ada agama bagi orang yang tidak berakal”, Za’ba, Mencapai Keluruhan Budi, 2015, DBP, hal.8.

Comments