Berguru Dengan Buku

photo credit to redmond

Dalam post-post terdahulu, aku banyak menekankan mengenai membaca buku atau umumnya membaca apa-apa. Tapi bila aku membuat kajian empirikal mengenai ‘aku sendiri yang membaca’ ada kritikan dari sebilangan Homo Sapiens di luar sana. Mereka mengkritik aku membaca yang tidak berlandaskan guru.

Aku tidak ingin membalas hujah dengan menyatakan ‘aku benar dan dia salah’, tapi jika anda membaca post ini, anda boleh menilai sendiri. Aku tidak memaksa anda menerima ide-ide yang akan aku kemukakan.

Terlebih dahulu aku ingin menukilkan kembali bait-bait dalam sebuah buku yang aku telah khatam dan aku fikir ia menarik.

Tidak salah berguru dengan buku, kerana buku juga sumber ilmu. Jangan ditakutkan akan kesalahan atau kesesatan yang terhasil dari pembacaan buku. Ini suatu lagi pandangan masyarakat kita yang tidak tepat dan menyebabkan generasi kita takut belajar dari pembacaan, takut ilmu. Kita dimomokkan kalau hendak belajar, kena berguru, jangan bergantung pada buku. Statement sebegini tidak terpakai untuk semua keadaan . ya, ada perkara perlukan guru, ada perkara perlukan buku. Buku itu catatan ilmu, guru pula penyampai.

Kalau ilmunya betul, cara sampainya salah, boleh sesat juga yang berguru. Cuba ingat balik Ayah Pin, Guru Kahar, Rasul Melayu; mereka ini yang menyesatkan umat manusia, bukannya buku-buku. Jadi boleh saya katakan, berguru tanpa buku juga boleh merosakkan.
*petikan ini diambil dari buku Rage Rage Rage, Dubook Press, 2014, Balakong.

Ok aku ceritakan satu kisah yang aku alami sendiri. Tapi tak pastilah bagi anda semua ia kukuh atau tidak:

Dulu aku belajar di (sekolah) Pondok Lubuk Tapah, Pasir Mas, Kelantan. Aku duduk di asrama. Di bilik pertama asrama tersebut, seorang ustaz (yang kami wartakan beliau sebagai alim dalam bidang Fiqh) menetap di situ. Bilik asrama kami tak besar mana pun. satu bilik dua orang. Nak dijadikan cerita, bila aku lalu depan bilik beliau, beliau sedang menelaah kitab secara perseorangan, bukan bertalaqqi. Hampir tiap kali bila aku lalu depan biliknya, memang tu sajalah kerja beliau. Itu kerjanya di waktu senggang. Kadang-kadang aku pun datang ke biliknya untuk bertanya kemusykilan agama atau berbual kosong. Bilik beliau memang selalu terbuka, jarang benar tertutup pintunya melainkan beliau tak ada dalam bilik.

Dari pemahaman dan kajian empirikal aku; mustahil seorang guru yang alim begitu menelaah pelbagai kitab secara menyendiri sedangkan ada massa yang mengatakan bahawa “jika kamu berguru dengan buku, maka gurumu adalah syaitan”. Siapa cakap ini adalah hadis Nabi?? kalau begitu, guru adalah maksum kerana kamu telah berkata "buku itu salah dan guru itu benar".

Itu bukan hadis nabi atau perkataan dari sahabat. Kenyataan itu terdapat dalam kitab Haq at-Toriqoh dan Syarah Usul Tahqiq. Tapi kedua-dua kitab ini tidak menyebut dari mana datangnya penyataan ini.

Ustaz itu adalah alim. maka ilmunya penuh didada. maka jika beliau membaca apa-apa bahan bacaan sekalipun, beliau sudah pandai untuk mengkategorikan ilmu itu salah atau benar. jadi, tidak salahlah untuk berbuat begitu.

Begini mudahnya aku nak sampaikan. Tidak salah berguru dengan buku. Kita membaca buku (karya ilmiah) untuk mendapat ilmu. Maka adakah ilmu yang bersumberkan dari buku itu tertolak? Tidak semudah itu.

Semuanya adalah ilmu. Ada ilmu yang benar, ada ilmu yang batil. Maka ilmu yang benar itu ialah ilmu yang berlandaskan al-Quran dan Sunnah. Dan yang batil itu sebaliknya.

Adapun ilmu yang kita baca dari mana-mana buku itu tidak ada dalam al-Quran, maka kita boleh berbalik kepada kaedah Fiqh ‘asal sesuatu hukum adalah harus sehingga terdapat dalil yang tidak mengharuskannya’ (Imam Syafie).

Maksudnya, kita boleh kerokai pelbagai ilmu walaupun dengan hasil pembacaan. Tapi tidak semua ilmu boleh diterokai kerana bukan semua ilmu boleh dipelajari. Contohnya ilmu sihir, kerana ia akan memudaratkan diri sendiri dan ia memangnya dihalang oleh Islam.

Kalau sudah kukuh, buat apa bak goyah


Oh ya. Lupa tadi. Mengenai ustaz aku tadi tu. Aku ada satu petikan menarik; kalau dah kukuh, buat apa nak goyah?

Aku pegang dengan statement tersebut. Kembali kepada kisah ustaz tadi tu; ustaz tu banyak membaca buku karya-karya tokoh Wahabi. Dan beliau memang beli buku-buku Wahabi untuk ditelaah.

Bila kita dah kukuh dengan suatu pegangan, maka perlukah kita risau akan dugaan yang mendatang? Hanya orang yang tidak kukuh sahaja yang akan berasa tergugat. Kalau kita sudah kuat iman di dada, dan kita tahu selok belok Islam (dalam kes ini aku tulis mengenai bahan bacaan Islamik), maka yang bersalahan dengan corak Islam itu sendiri, kita akan tolak dengan dalil-dalil Islam.

Masyarakat Umum.

Ok, satu persoalan. Macam mana jika; kita belajar ilmu Islam, dan lepas tu kita baca satu buku. Dalam buku tu tulis mengenai apa yang kita tidak tahu mengenai islam, maka apa yang perlu kita lakukan?

Oleh kerana aku berpegang dengan ‘buku bukan segala-galanya, dan bukan segala-galanya memerlukan buku’, maka itulah gunanya guru. Carilah guru yang alim dalam bidang tersebut, dan tanyakan soalan anda kepadanya.

Ini banyak terjadi kepada massa yang hanya sedikit mengetahui mengenai Islam yang membaca banyak buku. Mereka takut membaca buku sebab takut terpengaruh. Itu aku tak nafikan. Tapi bila kita sudah tahu pelbagai aliran, maka mudah untuk kita menapisnya.

Teringat kata-kata Aristotle “tanda minda berpendidikan ialah kebolehannya untuk meneroka sebuah pemikiran tanpa menerimanya”.

Sekali lagi aku tekankan. Ini bukanlah jawapan balas kepada para pengkritik aku yang mengkiritik aku membaca tanpa berguru. Tetapi ini adalah kajian empirikal aku bila melihat massa di sekeliling.

Cumanya aku dapat menasihati; bukan semua perkara yang kita baca itu adalah benar, dan bukan semua perkara yang guru beritahu itu benar. Cumanya kita hendaklah meneroka ilmu yang luas ini untuk lagi memperkemaskan ilmu yang kita ada = belajar aliran lain untuk memperkukuhkan aliran kita.

Tapi jangan kondem aliran lain kerana kamu anggap aliran kamu itu paling absolute. Kerana, hanya Tuhan yang tahu perkara yang paling benar mutlak. Apa yang kita boleh lakukan ialah berdoa, dan paling penting ialah YAKIN bahawa aliran kita itu diterima oleh Allah SWT.

Dan aku di sini bukannya menyarankan bahawa membaca tanpa berguru langsung, tapi seperti di atas tadi, ‘menuntut ilmu dengan berguru’ itu tidak akan untuk semua keadaan.

Aku disini bukanlah menyeru massa untuk menerima pendapat aku, tetapi bak kata Johnyy Depp dalam Transcendence "manusia hanya akan takut kepada perkara yang mereka tidak tahu".

Pepatah Melayu juga menyebut; hanya Jauhari yang mengenal Manikam.

Comments