Mansuh PTPTN, politics without romance dan student power — Zul Fikri Zamir Mohamad

photo credit to blogger
16 APRIL — Ketika tulisan ini sedang ditulis, saya membaca Twitter seorang rakan bahawa sekumpulan mahasiswa sedang membuat benteng manusia di Dataran Merdeka bagi mempertahankan khemah mereka dari diroboh DBKL. Sementara itu laporan Malaysiakini pada 12 April 2012 membayangkan sekitar 300 ke 500 orang sahaja mahasiswa yang turun untuk demonstrasi mahasiswa menuntut pemansuhan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Negara (PTPTN) di Kuala Lumpur.

Menuntut pemansuhan PTPTN? Menariknya, kumpulan berkenaan melaungkan slogan antaranya “Najib Altantuya”, “Jahanam Umno-BN”, “Musnah Rosmah” dan “Jahanam Najib”. Pertama, apa kaitan Altantuya, Rosmah serta ‘Jahanam Najib’ dengan PTPTN? Kedua, berdasarkan laporan semasa, sehingga kini terdapat 227,000 mahasiswa IPTA dan IPTS di seluruh negara. 500 orang daripada 227,000 mahasiswa di seluruh negara, memberi makna hanya sekitar 0.2 peratus sahaja yang turun untuk menyokong gerakan memansuhkan PTPTN ini. Di manakah 226,500 orang mahasiswa yang lain, yang juga menjadi sebahagian besar dari peminjam PTPTN?

Juga terdapat laporan yang lebih malang, sekumpulan anak muda mengalungkan bunga tanda kematian kepada gambar Perdana Menteri dan Menteri Pengajian Tinggi. Saya tidak nampak kaitan di antara Altantuya, Rosmah serta caci maki terhadap parti komponen kerajaan dengan isu pemansuhan PTPTN. Kumpulan kecil 0.2 peratus ini adalah anak muda, mahasiswa Institut Pengajian Tinggi, semuanya menuntut di Universiti. Maka, hujah perlu lawan hujah. Jika Perdana Menteri kata mansuh PTPTN bankrap negara, mahasiswa perlu lawan guna teori ekonomi yang mereka belajar di dewan kuliah universiti masing-masing. Bukan RM43 bilion lawan dengan slogan “Najib Altantuya”. Saya jadi keliru, mereka ini mahasiswa atau Mat Rempit Jalan Kebun?

Model Rafizi


Jika diteliti cadangan reformasi pendidikan tinggi yang dikemukakan oleh Rafizi Ramli, Pengarah Strategi PKR, prinsip memansuhkan PTPTN boleh dicapai melalui tanggungan; a) yuran serta b) kemudahan tempat tinggal, oleh kerajaan. Hutang PTPTN yang berjumlah RM27.5 bilion mampu dibayar oleh kerajaan sebanyak RM2 bilion setahun dari hasil minyak dan gas (sudah tentu Petronas) selama 15 tahun. Untuk masa hadapan pula, Rafizi mencadangkan agar 10 buah IPT awam dibina untuk menampung sebanyak 100,000 tempat pengajian, dalam masa 10 tahun akan datang.

Model ini kelihatan menarik, walaubagaimanapun mempunyai beberapa persoalan besar yang perlu diperhatikan. Pertama, jika kerajaan menanggung yuran pengajian serta memberi kemudahan tempat tinggal, bagaimana dengan elaun sara hidup para pelajar? Kedua, pergantungan penuh kepada Petronas yang dilihat sangat tidak “sustainable”. Ketiga, bagaimana dengan kos pembinaan 10 buah IPTA tersebut, serta perbelanjaan pengurusan (gaji staf dan lain-lain hal) kemudian nanti?

Masalah PTPTN


Apa masalah PTPTN sebenarnya? Menurut Dr Asyraff Wajdi Dusuki, mekanisme caj perkhidmatan yang dilakukan oleh PTPTN yang mengenakan caj perkhidmatan 1 peratus ke atas nilai pinjaman adalah tidak menepati Piawai Syariah AAOIFI, malah juga pandangan majoriti ulamak di peringkat antarabangsa yang hanya membenarkan caj berpandukan kos sebenar.

Wow! Caj 1 peratus pun tidak menepati piawai syariah, walhal konsep ujrah 1 peratus ini baru dilaksanakan sekitar September 2011 yang lalu. Bagaimana pula dengan caj 3 peratus hingga 4 peratus yang ditanggung oleh pelajar selama 13 tahun yang lalu semenjak ia diperkenalkan pada tahun 1997?

Ini masalah PTPTN yang sebenarnya. PTPTN digunakan untuk berniaga, mengaut keuntungan melalui “niat baik” untuk membantu para pelajar yang tidak berkemampuan melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi. Sebab itu kita boleh faham mengapa pelajar yang tidak membayar kembali pinjaman tersebut dibolehkan untuk disenaraihitam serta dihalang keluar negara, sebagaimana yang berlaku terhadap saudara Mandeep Singh yang mana kesnya menyaman PTPTN sedang berlansung kini.

Idea berniaga menggunakan pelajar yang terdesak melalui PTPTN inilah sebenarnya perkara yang paling tidak bermoral sekali. Tiba-tiba sahaja setelah 13 tahun, boleh pula caj perkhidmatan tersebut diturunkan menggunakan ujrah? Apahal?

Politics without romance


Saya fikir menarik jika kita boleh bincang masalah pembiayaan yuran, kos tempat tinggal serta kos sara hidup terhadap lebih dari 227,000 pelajar menggunapakai kerangka ekonomi. Adakah sistem ekonomi yang digunapakai sekarang adalah berdasarkan teori “human capital” Gary Becker? Jika diambilkira tulisan saudara Amin Ahmad mengenai Indeks Kesejahteraan Legatum iaitu hanya sekitar 68 peratus sahaja yang mengikuti pendidikan menengah berbanding negara lain sehingga menempatkan Malaysia di kedudukan ke-81, apakah pendekatan ekonomi paling sesuai yang perlu kita gunapakai untuk menyelesaikan masalah keciciran lebih 32 peratus para pelajar yang keciciran ini?

Ketika inilah kita perlukan mahasiswa jurusan ekonomi untuk memberi cadangan kepada kerajaan sedia ada bagaimana hasil negara boleh disalurkan, terutamanya bagaimana angka RM43 bilion boleh menjadi bajet yang paling asas sekali. Sebagai contoh jika kerangka “public choice” James Buchanan yang dicadangkan Pakatan Rakyat ini tidak sesuai, mahasiswa patut kemuka model apa yang paling sesuai berdasarkan pembelajaran peringkat tinggi mereka.

Mahasiswa ini tahu semua tentang kitaran ekonomi, pertumbuhan, polisi cukai dan perbelanjaan, pilihan yang ada, dagangan antarabangsa serta pasaran. Oleh yang demikian, saya mengharapkan mahasiswa ini kemuka model seperti Keynesian atau model “laissez-faire” Hayek untuk ganti kerangka “politics without romance” Anwar Ibrahim. Ketika inilah masyarakat memerlukan mahasiswa ini berucap tentang polisi fiskal, nilai tukaran, “monetary policy” atau permintaan dan penawaran dalam sistem ekonomi negara serta kaitannya dengan bebanan sekitar RM27.5 bilion sehingga RM43 bilion setiap tahun berbanding menjerit tak tentu hala “Mansuh PTPTN”, “Free education now!” atau “Mahasiswa bukan robot”.

Pendidikan percuma?


Jadi, apa sebenarnya pilihan yang kita ada? a) mengekalkan PTPTN dengan memansuhkan caj perkhidmatan, pelajar bayar apa yang mereka pinjam sahaja atau; b) mansuhkan terus PTPTN dan guna model Rafizi?

Realitinya, wujudkah pendidikan percuma? Ya, pendidikan percuma memang wujud. Jika anda rajin untuk Google-kan perkataan seperti “free education” atau rujuk laman web “scholarship 4 development”, anda akan disambungkan kepada ribuan “link” kepada pendidikan tinggi, kebanyakannya di Eropah dan Amerika, yang menawarkan pendidikan tinggi secara percuma. Itu sudah tentu belum kira bagaimana negara tersebut menyara pendidikan tinggi rakyatnya sendiri sebagaimana yang diketahui seperti di German.

Bezanya di antara Malaysia dan negara maju, inisiatif ke arah pendidikan percuma telah menjadi modal politik serta modal pembiayaan bisnes. PTPTN digunakan sebagai modal berniaga, bukan untuk membantu memberi peluang pendidikan tinggi kepada rakyat secara ikhlas. Wujud kecenderungan penyokong kerajaan untuk manipulasi PTPTN dengan isu pinjam tetapi tidak mahu bayar. Walaubagaimanapun saya fikir ianya adalah terlalu kebudak-budakan.

Isu PTPTN adalah isu pendidikan secara dasar. Ini bukan masanya untuk kita bicara hal “lu pinjam, lu mesti bayar”! Malangnya Pakatan Rakyat berjaya membicarakan isu PTPTN dari sisi falsafah, iaitu pendidikan percuma sekurang-kurangnya sehingga ijazah pertama. Realitinya, peratusan yang menyambung pengajian di peringkat tertiari pada masa kini lebih kurang sekitar 29.7 peratus sahaja berbanding Korea Selatan iaitu 96 peratus. Jika kerajaan mampu memberi pinjaman mudah sehingga RM250 juta kepada pemimpin utamanya, atau “bail out” syarikat kroni sehingga RM500 juta, apa halangan utama kerajaan untuk inisiatif pendidikan percuma kepada rakyat?

Apa yang kita perlukan kini adalah sebuah kerajaan yang berusaha untuk mewujudkan insiatif dan akses kepada pendidikan percuma, untuk meningkatkan jumlah enrolmen pelajar pada tahap pendidikan tinggi. Inisiatif ini bukan sekadar terhad kepada pemansuhan PTPTN semata-mata. Dari aspek ekonomi, pengurusan yang cekap, mengurangkan pembaziran serta mengurangkan subsidi ekonomi kepada kroni akan mengecilkan ketirisan wang yang boleh digunakan untuk menampung idea pendidikan percuma ini.

Sebagai tambahan Barat bukan sahaja menyediakan pendidikan percuma secara fizikal, mereka juga telah mula melaksanakan pendidikan percuma di dalam talian. Laman web seperti Academic Earth, Curriki, p2p U dan The Khan Academy telah lama menyediakan bahan pembelajaran dalam talian secara percuma. Terbaru, Massachusset Institute of Technology (MIT) telah menyediakan laman web yang memberi akses kepada orang awam untuk mendapat pengalaman pembelajaran di dalam kuliah melalui MIT. OpenCourseWare selain beberapa institusi lain yang juga memulakan misi berkenaan iaitu; Notre Dame OpenCourseWare, Open Yale, WebCast.Berkeley, LectureFox, Learn Out Loud, LearnThat, About U, GCF LearnFree, VideoJug, serta TED.

Student power


Saya harap mahasiswa yang turun demonstrasi pada 12 April yang lalu faham asas perbincangan isu PTPTN melalui sudut pandang ekonomi, bukan hanya menampilkan citra sikap semata-mata. Tidak salah menzahirkan sikap, malangnya sebagai mahasiswa, tanggungjawab menzahirkan sikap datang bersama-sama dengan pandangan ilmiah. Saya harap pandangan ilmiah mereka tidak lari jauh dari apa yang kita perbincangkan di atas. Demonstrasi kini buat mereka semacam “self centred”, dengan slogan-slogan “Hidup Mahasiswa” dan “Student Power” yang mengangkat diri sendiri. Jauh beza dengan demonstrasi mahasiswa tahun 70-an yang menggunapakai slogan berkenaan ekonomi, membela rakyat miskin serta nasib para petani.

Namun isu yang lebih besar saya kira adalah “ignorance state” yang melanda mahasiswa lain. 99.8 peratus mahasiswa lain tidak peduli dengan isu PTPTN pun. Pendidikan percuma boleh dilaksanakan jika mahasiswa dapat bersuara sebagai satu suara, mendesak ahli politik menggembleng tenaga bersama-sama mencari penyelesaian konkrit ke arah tujuan tersebut. Namun jika 500 sahaja yang hadir berbanding 227,000 mahasiswa di seluruh negara, apa yang dapat kita simpulkan sebenarnya?

Tesis saya mudah, mahasiswa kita memang perlukan PTPTN. Mereka lebih gemar meminjam, duit lebihan yuran boleh digunakan untuk membeli iPhone dan iPad2. Setelah sekian lama dibudayakan untuk meminjam, kini mereka takut untuk berdiri sendiri. Sebab itu lebih 226,500 mahasiswa lain di seluruh negara buat tak tahu kepada demonstrasi mansuhkan PTPTN Sabtu lepas. Sebab mereka tidak kisah jika perlu membayar sekita RM63,000 walaupun meminjam hanya RM48,000. Yang penting, hujung minggu boleh bawa awek tonton wayang, guna duit pinjaman PTPTN.

“...if you want to improve politics, improve the rules, improve the structure. Don’t expect politicians to behave differently. They behave according to their interests.” — James Buchanan

* Zul Fikri Zamir Mohamad Munir adalah Felo di dalam Artist For d’Oppressed (AfdO), selain Co-Founder di dalam Teach For The Needs (TFTN).

Comments