Thursday, June 7, 2018

Hichki: Pendidikan Kelas Belakang

photo credit to dnaindia.com


Kita dipopularkan dengan 3 Idiots (2009) yang menggugat sistem pendidikan sedia ada. Kita ada Taare Zameen Par (2007) yang menyokong dan menyantun kaum pelajar dari golongan OKU. Kita ada Dead Poets Society (1989) yang berorientasikan kepentingan sastera kepada anak-anak. Aku di sini sekadar sebut 3 filem yang ada. Kalau kamu cari di Google, masih banyak filem mengenai aspirasi pendidikan yang boleh kita pelajari dan ambil pengajaran darinya. 

2018 ini kita ditayangkan dengan sebuah lagi filem yang mengenai sistem pendidikan. Hichki (2018) dilakonkan dengan kemas oleh Rani Mukerji sebagai cikgu Naina Mathur yang mempunyai Tourette’s syndrome. 

Kisahnya mudah, seorang wanita yang bermasalah dalam pertuturannya, telah diambil bekerja sebagai guru bagi kelas hujung. Pengajaran yang kita boleh ambil dari kisah ini boleh dibahagikan kepada dua view di mana (1) view guru, dan (2) view pelajar itu sendiri. 

Cikgu Naina diberi peluang oleh pengetua untuk mengajar di sekolah tersebut, sebab utamanya kerana kelas hujung (kelas 9F) gurunya tak ada. Jadi pengetua terpaksa ambil guru untuk menggantikan cikgu tersebut. Pengetua juga nampak potensi cikgu Naina sewaktu temuguda walaupun Naina mempunyai masalah. Filem ini digarap kemas. Kita tengok pelajar kelas 9F tu pun kita dah tahu muka ni memang muka bermasalah. Memang menjadi betul riak dan tatarias muka yang dibawa.

“Tiada murid yang teruk, hanya ada guru yang teruk”, quote ini beberapa kali diulangi dalam filem ini yang mana sebelum ini aku pernah dengar quote yang sama dari filem The Karate Kid

Di Malaysia, kita diajar bahawa guru yang baik itu akan mengajar di kelas yang bagus-bagus. Guru cemerlang akan mengajar di sekolah yang ada cemerlang. Ada beberapa alasan mengapa ini terjadi. Lihat di sekolah yang ternama, MRSM, SBP, lihat guru-gurunya, title Guru Cemerlang tersemat di dada. ‘Cikgu SBP’ lebih dipandang tinggi dikalangan pelajar. Apabila kursus, dipanggilnya cikgu dari yang terbaik ini dan pada muka depan handout yang diberi terukir “Guru Cemerlang (subjek) MRSM (contohnya)”. Apa maksudnya? Maksudnya guru yang bagus itu memang mengajar di sekolah yang bagus. 

Dalam Hichki, cikgu Naina perlu mengajar kelas 9F. Kelas paling hujung. Kelas paling bermasalah. Pelajar dalam kelas itu hanyalah 14 orang. Semuanya ada masalah tersendiri. Tetapi masalah itu bukanlah bererti mereka bodoh. Kadang-kadang pelajar bermasalah ini masalahnya bukan datang dari susah untuk menerima pelajaran tetapi datang dari keluarga dan persekitaran mereka. Tema inilah yang filem ini cuba dengungkan untuk para penonton. 

Pelajar bermasalah memerlukan seorang guru yang cemerlang untuk mengajar mereka. Guru cemerlang yang berpengalaman dan tahu apa masalah pelajar di luar sekolah memainkan peranan penting dalam tugas sukar ini. Seseorang pelajar bukanlah bodoh atau malas belajar begitu sahaja. Mereka memerlukan semangat dari sisi lain. Ada pelajar yang memerlukan kegembiraan dalam pelajaran. Ada pelajar yang memerlukan praktikal berbanding teori. 

Terdapat satu scene di mana ada seorang pelajar pintar berkata kepada rakannya “kita memang bertuah, tapi mereka gembira”. Selepas pertukaran Menteri Pendidikan Malaysia, Dr. Maszlee Malik beberapa kali melaungkan konsep ‘happiness’ perlu diterapkan dalam sistem pembelajaran. Hichki berjaya menerajui tema ini dengan cemerlang. 

Pelajar, terutama pelajar di peringkat menengah, bukan hanya terikat dengan sekolah. Ada kalanya masalah di rumah membawa kesan kepada pelajar. Bahasa mudahnya, persekitaran kita berbeza. Kita tak boleh nak ajar ikan dan monyet untuk memanjat pokok dengan cara yang sama. Mereka (pelajar) mempunyai kapabiliti yang berbeza. Walaupun diberi input yang sama, tapi sebagai manusia, kita memang dicipta berbeza. Teranlah bagaimanapun, tetap tahap itu sahaja pelajar tersebut. 

Setiap pelajar ada kebolehan yang tersendiri. Cikgu Naina cuba mencungkil bakat kesemua 14 orang pelajar itu dengan pelbagai cara dan medium. Proses P&P bukan dalam kelas, memberi analogi dan contoh yang mudah, tidak menggunakan sepenuhkan konsep di dalam buku teks, melebihkan eksperimen yang jelas depan mata di samping menghubungkaitkan dengan teori yang mereka belajar. Langkah ini berjaya dan memberi kesan yang mendalam terhadap pelajar yang bermasalah. 

Sepanjang perjalanan cerita, Mr. Wadia (Neeraj Kabi) membawa watak guru kelas cemerlang. Wadia agak tak berkenan dengan pembawaan Naina. Watak ini menunjukkan bahawa dalam sistem persekolahan atau pendidikan, kalau kita buat lain sikit dari orang, kemungkinan besar kita akan dikecam dan dipandang serong. Cikgu Wadia tak suka anak muridnya bermain dan tak puas hati bila cikgu Naina membawa pelajar 9F ke gelanggang basketball. Dari situlah tercetus kedengkian dikalangan anak didik cikgu Wadia yang ada kalanya mempersoal mengapa mereka tak ada eksperimen seperti kelas 9F. 

Kadang kala, ego seorang guru ini tinggi, dia tahu apa yang terbaik untuk anak muridnya. Tapi dia jarang fikir apa yang anak muridnya fikir terbaik untuk diri mereka sendiri. Sebab itulah datangnya masalah bagi anak murid kerana mereka fikir lain, tetapi guru fikir lain. Guru tak cuba untuk berinteraksi sebagai rakan kepada anak murid. 

Filem ini sesuai ditonton untuk kita mengambil iktibar apabila berdepan dengan kelas hujung. Kelas hujung juga manusia. Kelas hujung juga ke sekolah dan ingin belajar untuk berjaya. Tetapi kita lupa yang kelas hujung selalunya diberi layanan yang berbeza, atau lebih dahsyat, layanan yang tidak setimpal sebagai seorang pelajar.

Naim AlKalantani
--------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------


*Pernahkah anda terfikir bagaimana mahasiswa di Malaysia mempertahankan hak mereka pada circa 1970an? Pernahkan anda anda terbayang bagaimana gerakan mahasiswa yang amat jitu pada era tersebut? Buku ini berkisar mengenai gerakan mahasiswa untuk mempertahankan pendidikan dan beberapa isu lain di Malaysia. Jika anda nak tahu lebih, dapatkan buku Mahasiswa Menggugat, sebuah magnum opus dari Prof. Muhammad Abu Bakar yang pernah popular satu ketika dahulu. Untuk pembelian, boleh whatsapp 0129611812 atau klik sahaja http://naimalkalantani.wasap.my dari telefon pintar anda.

No comments:

Post a Comment

komen dan kritikan amat digalakkan