Sunday, June 3, 2018

Fahrenheit 451 (2018): Bagaimana Hidup Tanpa Buku?

photo credit to CNet

Di sekitar kita, kita masih dapat melihat paling tidak sebuah buku. Walaupun rumah kita tiada mini library atau rak buku sekalipun, dalam bilik kita, dalam rumah setidaknya mempunyai sebuah buku tidak kisahlah buku jenis apa sekalipun waima komik sekalipun. 

Pernah tak kita bayangkan bagaimana dunia tanpa buku? Ada dikalangan sahabat aku berbincang (secara tidak serius) bagaimana dunia tanpa agama, dunia tanpa tuhan, dunia tanpa sains, dunia tanpa teknologi – tetapi tak ada pun yang pernah terfikir dunia tanpa buku. 

Fahrenheit 451 ini adaptasi dari novel oleh Ray Bradbury. Diadaptasi kepada layar perak sebanyak dua kali pada tahun 1966 dan 2018. Aku tak baca novelnya. Review kali ini bukan review novel, tetapi filemnya yang ditayangkan pada Mei 2018. Filem ini diterbitkan oleh HBO. Bukan ditayangkan di pawagam.

Tapi mari kita kenal sikit dengan novel ini. Dalam banyak-banyak buku yang ditulis oleh Bradbury, Fahrenheit 451 ini adalah adikarya beliau. Novel ini dianugerahkan sebagai Hugo Award Best Novel (1954). Aku tak tahu menahu pun berkenaan novel ini sehingga rakanku upload gambar novel ni di Whatsapp story-nya. Ketika tu aku memang perasan di salah satu website untuk download movie, naik nama movie ni. Aku ingatkan movie apa la ni. Lepas bersembang sedikit sebanyak dengan rakanku berkenaan novel ni, aku ambil keputusan untuk download movie tanpa membaca novel asalnya.

Kita berbalik kepada review. Pada kredit pembukaan cerita digambarkan pembakaran buku. Tajuk buku yang dibakar kebanyakannya buku-buku dan novel kesusasteraan. Aku sebagai peminat buku dapat mengenal pasti tajuk atau penulis buku yang dibakar. 

Cerita ini berkisar mengenai so called ‘bomba’. Latar masa cerita ini rasanya tahun 2053. Teknologi sudah terlalu canggih pada ketika itu. Sekumpulan ahli bomba ini dilatih untuk membakar buku. Ya. Membakar buku. Literally. Pada awal cerita, rekrut bomba diberitahu bahawa di dalam dunia ini, buku adalah satu ancaman besar bagi manusia. Tetapi hanya terdapat 3 buah buku yang boleh dibaca, selain itu perlu dibakar dan disingkirkan dalam kehidupan seharian. Buku tersebut ialah Bible, To the Lighthouse, dan Moby Dick. Itu sahaja. 

Pada zaman tersebut, manusia dibahagi kepada 2 kumpulan. Kumpulan Eels dan Natives. Eels adalah manusia yang ‘memperjuangkan’ buku dan Natives sebaliknya. Pelakon utama, Montag (Michael B. Jordan) menjadi seorang Master Troopers dalam agensi bomba tersebut. 

Kenapa perlu membakar buku? 


Dalam filem ini diberitahu bahawa buku membawa kepada ketidakbahagiaan. Internet membawa musibah kepada manusia. Terdapat scene di mana kapten Beatty (Michael Shannon) memberitahu bahawa membaca itu membawa kepada sick and crazy. Latar masyarakat pada ketika itu tidak ada jurnalis, tidak ada pengarang. Yang ada hanyalah 9 (Nine). Digambarkan 9 ini adalah dari kerajaan. Apabila ahli bomba ini dapat maklumat berkenaan rakyat yang menyimpan buku, maka mereka akan menghukum orang tersebut dan ditanda sebagai Eels. 

Dalam filem ini digambarkan Benjamin Franklin adalah founder kepada bomba yang membakar buku. Padahal kalau ikut sejarah sebenar ialah memang Franklin founder bomba, tetapi bukan membakar, tetapi memadamkan api. Fakta dimanipulasi. Natives tidak tahu perkara tersebut dimanipulasi sebab tak ada internet, yang ada hanyalah 9. Tak ada buku, yang ada hanyalah 9. 

Memori dipadam dengan menggunakan ‘drops’, cecair macam Eye Mo yang dititis dalam mata pada waktu-waktu tertentu. Otak tidak lagi mengingati memori pada ketika kecil. Montag yang berumur lingkungan 30-an tersebut tidak pernah melihat buku fizikal sebelum ini, ditugaskan ke salah satu tempat yang disyaki terdapat buku. Apabila masuk, dia terkejut melihat 1 bilik penuh dengan buku. Kelihatan Montag juga takut nak pegang buku. Apabila kapten itu cakap berkenaan buku Kafka (dalam konotasi yang buruk), Montag bertanya kepada Beatty adakah dia pernah baca buku tersebut. Ya, sebagai manusia, kita semua akan nak tahu apa yang musuh kita tahu dan buat. Maka logik di sini adalah Kapten Beatty sebenarnya tahu kebanyakan dari buku tersebut tetapi mengubah persepsi orang bawahannya terhadap buku dan mural atau segala apa berbentuk kesenian (arts). 

But why? Bagi mereka buku adalah satu penipuan. Buku dengan buku yang lain tidak sama. Idea dan tulisannya bercanggah satu sama lain. Tak ada buku yang solid di dunia ini. ahli falsafah bergaduh pung pang pung pang dalam buku tebal-tebal dan disanggah oleh ahli falsafah lain. Natives diwujudkan sebab perkara ini ingin dimansuhkan dari dalam diri rakyat. We argue each other. Debate. Forum. Tak bersependapat. Itu menimbulkan unhappiness. Perlu satu guideline dalam masyarakat supaya gembira dan tidak terjebak dalam ideologi yang mungkar. 

Kita nak beri orang gembira, maka jangan kita beri mereka dua pilihan. Beri satu sahaja. “ok ini jalan untuk gembira”. Simple. Tak perlu tanya “nak gembira jenis macam mana?”. Buku dibakar sebab ada pihak yang tidak setuju. Jadi solusinya, bakar. Bahasa yang pelbagai juga menyusahkan masyarakat. Baik buat satu bahasa sahaja. Dan semua orang memahami bahasa tersebut. Masyarakat A tidak memahami bahasa Masyarakat B, dan seterusnya. Kita manusia tak sama. Jadi macam mana nak samakan semua manusia? Bakar semua buku, dan ada satu sahaja guideline. Settle. 

Konflik bermula semasa Montag masuk ke dalam library tu dan sempat mencuri sebuah buku (novel dari Dostoevsky). Dan apabila buku lain dibakar, tuan rumah tersebut sanggup membakar diri dengan buku. Nyawa tuan rumah (seorang wanita tua) digambarkan sama dengan semua bukunya. Hidupnya tak bererti jika buku dibakar. Dan sebelum dia mati, dia menyebut satu perkataan yang tidak difahami oleh Natives. Selepas itu perkataan itu di-banned oleh 9 dan ahli bomba menyerang semua tempat Eels untuk mencari perkataan tersebut. 

Bermula dari Montag membaca Dostoevsky inilah cerita ini menjadi lebih seronok. Montag menemui seorang Eels, Clarisse McClellan (Sofia Boutella) dan mengikut sikit-sikit mengikut jejak langkah Clarisse dalam membaca, memahami, dan menjiwai buku. Clarisse ini ada satu misi di mana kumpulan mereka ingin menyebarkan isi buku yang mereka ada seluas-luasnya. 

Montag rela hati untuk menolong Clarisse sebab dia sendiri ada memori yang samar-samar ketika dirinya mengenai buku. Dan dia juga semakin ragu-ragu dengan pasukan bombanya. Clarisse membawa Montag ke safe house milik mereka. Menariknya, setiap dari mereka menghafal sebuah buku. Internet dipadam, buku dibakar, jadi tempat paling selamat untuk menyimpan sebuah buku adalah dalam memori seorang manusia. 

Montag walaupun bekerja di bawah kapten Beatty, tidak langsung menunjukkan kegentaran terhadap kapten yang garang itu. Walaupun digertak, hati Montag keras dan teguh seperti sebuah buku. Walaupun sudah didapati bersalah kerana join pakatan Clarisse, tetapi Montag tetap bertahan dan melindungi kumpulan Clarisse. Sebabnya mungkin semangat dari Clarisse sendiri dan hasil bacaan beberapa buku bersama Clarisse atau mungkin dia sendiri ragu-ragu dengan kapten Beatty. 

Aku sendiri bila tonton filem ini, sakit hati juga bila buku dibakar dan dipijak macam tu je. Rasa geram pun ada. Bagaimana seseorang sanggup membakar buku atas dasar ingin mewujudkan happiness? Padahal dalam filem ini 9 mentaati slogan “freedom is choice”. Begitu kontradik sekali idea yang dimomokkan dengan tindakan mereka. 

Walaupun review ini mengandungi spoiler kecil, tetapi aku tidak menceritakan kepada kalian apakah yang berlaku kepada kapten Beatty. Kalian peminat buku, perlu menonton filem ini. aku tak tahu adakah filem ini tele 100% dengan novelnya atau bagaimana. Di IMDb, rating movie ini hanyalah 4.9/10 dari 5,000 voters. Mungkin akan naik lagi ratingnya sebab baru bulan lepas filem ini ditayangkan. 

Kalau kalian nak tonton movie yang (ada) berkenaan buku juga, boleh cuba menonton The Shawshank Redemption (1994) yang sudah bertahun-tahun memegang trofi Top Rated Movies pada tangga pertama. Walaupun begitu, filem ini 7 kali dicalonkan Oscar Award, tetapi tak pernah menang. Movie ini boleh dikatakan movie terbaik di dalam dunia ini (mengikut rating IMDb).

No comments:

Post a Comment

komen dan kritikan amat digalakkan