Pra PBAKL2018: Pesta Yang Dinantikan



Kurang sebulan dari sekarang, Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) akan ‘mendarat’ di bangunan paling agung, Putra World Trade Center (PWTC), di tengah-tengah bandar raya Kuala Lumpur. 27 April hingga 6 Mei 2018 akan menggegarkan PWTC dengan acara perbukuan yang paling prestij di Malaysia. Segenap penjuru rakyat Malaysia datang ke mari demi buku yang dicarinya. 

Tahun ini aku menulis mengenai PBAKL awal sedikit. Tak seperti tahun lepas dan dua tahun lepas dan tiga tahun lepas. Aku menulis selepas PBAKL, ini aku tulis sebelum PBAKL lagi. 
Vibe PBAKL2018 

Tahun ini, seperti yang diramalkan oleh rakan-rakan saya dalam circle perbukuan ini, mungkin vibe PBAKL2018 tahun ini akan bertembung dengan vibe dari PRU14 yang semakin hari semakin riuh diperdengungkan di media sosial. Peribadi aku sendiri, aku tiada masalah dengan hal ini. Tetapi kita kena akui bahawa; jika ada dua perkara yang besar terjadi dalam suatu masa, perkara yang satu lagi itu mungkin ditenggelamkan oleh perkara yang lebih besar dan lebih menarik di mata rakyat sendiri. Jadinya, tak boleh nak buat apa dah. PRU14 tetap dijalankan, dan PBAKL2018 tetap akan berlangsung dengan jayanya.

Tarikh PBAKL tiap-tiap tahun selalunya memang tak akan berubah. di akhir April hingga Mei sahaja tariknya. Tetapi tarikh PRU14, atau pembubaran parlimen masih tidak umumkan sewaktu si penulis ini menekan keyboardnya. Jadi untuk itu, mari kita selami apa yang telah ditetapkan dahulu. 

*Maaf dengan mukadimah agak political sedikit, penulis baru pertama kali nak mengundi tahun ni. 

Kita habis bab pengenalan. Mari kita selam apa yang ada pada PBAKL tahun ni. 

Tahun ini, aku tidak menjadi Duta Buku PBAKL seperti tahun lepas, atau bahasa mudahnya sukarelawan untuk PBAKL nanti. Aku isi borang dan hantar dokumen juga untuk tahun ni. Tetapi tak berjaya dapat. Hanya berjaya peringkat saringan. Tapi tak apa, berilah peluang kepada adik-adik yang lain untuk merasa betapa nikmatnya dapat bergelumang dengan buku selama 10 hari berturut-turut. 

Jadinya, aku mungkin akan spend time 2 atau 3 hari sahaja di sana nanti. Tahun lepas, aku ada tujuan aku sendiri untuk hadir ke pesta buku selain menjadi Duta Buku. Tujuannya untuk memenuhkan wishlist aku. Tahun lepas, aku menghabiskan sekitar RM300 untuk buku sahaja, dua tahun lepas, RM600. Tiga tahun lepas dalam RM200. Puasnya tidak terkata waktu itu. Walaupun menghabiskan duit dan berpenat lelah naik-turun-keluar-masuk dewan, tetapi kepuasannya hanya aku sorang sahaja yang rasa. 

Wishlist 

Wishlist tahun ini agak berbeza dengan tahun 2016 dan 2017. Kalau dua tahun dulu; aku dapat buat wishlist dari bulan Januari lagi, tetapi tahun ini aku agak sibuk mengikuti perkembangan buku atas faktor kerja yang menimpa diri ini. Jadinya, untuk aku memberi semangat kepada para pembaca setia aku di sini, aku akan menulis beberapa buku wishlist aku dan mungkin buku ini wajib dimiliki oleh para biblioholic sekalian. 

Hikayat Nabi Yusuf, Muhammad Labai, Fixi Retro 

Photo credit to GoodReads

Apabila rumah penerbitan Fixi mengumumkan penerbitan kembali Hikayat Nabi Yusuf (1802) pada tahun ini, sekali lagi aku memberi tabik spring kepada Amir Muhammad selaku CEO Fixi yang beribawa. Naskhah ini adalah naskhah kedua dari jenis ‘translasi’ di bawah nama Fixi Retro. Naskhah pertama ialah Hikayat Raja Babi (1775) ditranslasikan oleh seorang tokoh yang tak asing lagi dalam penelitian manuskrip Melayu, tuan Arsyad Mokhtar (Arsyad Pendang). Hikayat ini sama seperti Hikayat Raja Babi yang mana manuskrip asalnya masih tersimpan utuh di British Library, London. Walau bagaimanapun, anda masih boleh membaca naskhah asli di dalam laman web British Library di sini. Itu pun kalau anda faham dan dapat bacalah. Berbeza sedikit dari Hikayat Raja Babi, kali ini Fixi membawakan cetakan edisi kulit keras dengan harga RM20 sahaja. Waktu dapat tahu pengumuman ini dari Fixi, aku sungguh teruja sebab encik Amir Muhammad menerbitkan buku ini bukan dengan label cetakan terhad. Aku memberi applause kepada Fixi kerana sanggup pejam mata dengan peningkatan harga kos semata-mata mahu buku ini diterbitkan cantik dan sempurna. 

*sedikit trivia bagi Hikayat Raja Babi; Apabila Fixi memaklumkan ingin mencari orang yang sanggup translasi buku ini daripada jawi ke rumi, agak mendapat sambutan ramai. Rasanya Fixi nakkan 20% sudah ditranslasi, dan dihantar kepada Fixi, dan Fixi akan pilih yang terbaik. Dan perkara mengejutkan terjadi apabila tuan Arsyad menghantar kira-kira 80% sudah siap disertakan dengan nota kaki sekali, automatik beliau layak mentraslasikan naskhah tersebut. (2) Buku ini sudah habis dijual di Kedai Fixi sendiri. Aku rasa 3000 cetakan pertama itu, tidak diulang cetak, dan tak akan ada cetakan kedua dan seterusnya. 

Tari Pasar Perempuan, Fazleena Hishamuddin, Roman Buku

foto dari romanbuku

Buku ini ketika jariku menari-nari pada papan kekunci ini, baru saja siap dicetak dan dijual di Pesta Buku Selangor 2018. Fazleena seperti mana yang kita kenali, dengan karya puisinya yang menawan, telah lama menyepi. Menyepi. Menyepi. Dan booommm, lahirlah Tari Pasar Perempuan di bawah rumah penerbitan Roman Buku. Bukunya yang terdahulu banyak aku baca dalam genre puisi. Tetapi kali ini beliau membawakan kompilasi cerita pendek yang memfokuskan perempuan. Boleh baca temu ramah beliau dengan The Sun di sini. Naskhah ini boleh didapati dalam dua versi; kulit lembut dan kulit keras; yang mana kulit keras ini berjaket dan cetakan terhad. 

Namaku Epal Kuning, Roslan Jomel, Dewan Bahasa dan Pustaka. 

foto dari GoodReads

Tahun lepas, Namaku Epal Kuning terdapat dalam wishlist aku juga. Tetapi apabila mengunjungi reruai DBP, buku ini tidak dijual di situ. Aku yakin bahawa buku ini masih dijual di pasaran, bukannya sudah dihentikan cetakan. Roslan Jomel adalah penulis novel surrealisme. Apabila pertama kali aku membaca novel beliau, aku nak baca semua novel beliau. Maka semua buku beliau aku beli kecuali Namaku Epal Kuning ini kerana tahun lepas tidak dijual di reruai DBP. Roslan Jomel ini penangan membaca novelnya sama kuat dengan Wan Nor Azriq, pemenang Sayembara Penulisan ITBM-PENA-BH bagi Kategori Novel (2013). Oh ya, setahun dua ini agak menarik, kerana DBP telah mengulang cetak buku-buku lama mereka kerana kehendak massa. Mungkin ramai yang mencari buku DBP yang berkualiti, tetapi DBP dengan isunya dahulu mengakibatkan cetakan buku mereka begitu terhad. Jadi kalau tak salah bermula tahun lepas, berpuluh-puluh tajuk buku lama telah diulang cetak kembali untuk menaikkan nama penerbitan ini. Aku berharap mereka mencetak kembali trilogi Bunga Dari Kuburan karya Arena Wati. 

Hujan Pagi, A. Samad Said 

photo credit to courasell

Tahun ini, Hujan Pagi diterbitkan semula secara terhad 1000 unit sahaja, berjaket dan berkulit tebal. Bersempena dengan 30 tahun penerbitan Hujan Pagi, Anak Pak Samad, Helmy Samad dan komrad-komrad yang lain bertungkus-lumus untuk menaip semula karya ini secara digital dan dipasarkan dengan terhad berserta nombor siri pada buku tersebut. Novel Hujan Pagi ini dikatakan adalah adikarya Pak Samad. Kekuatan novel ini pada unsur realisme magis yang dipopularkan oleh Gabriel Gracia Marquez. Mungkin novel ini sedikit susah untuk cari di PBAKL2018 nanti, tetapi aku berharap akan ada reruai yang menjualnya walaupun secara terhad di sana.

foto dari twitter

Gantung, Nadia Khan, Fixi (Limited Edition)

Seperti tahun lepas, Fixi ada menerbitkan kembali novel Asrama dengan cetakan terhad 200 unit sahaja berkulit keras. Dijual 20 unit sahaja setiap hari diwaktu pagi apabila mula dewan dibuka. Tak sampai seminit orang datang serbu untuk beli buku tu. Aku antara manusia bertuah dapat memiliki buku tersebut. Tahun ini, mungkin agak susah aku nak dapatkan buku Gantung Limited Edition ni. 300 unit sahaja dicetak di atas muka bumi ini. Aku rasa Fixi tak ubah konsep jualan buku ini, sama macam tahun lepas. Walaupun aku dah baca buku ini, tetapi sebagai pengumpul koleksi buku nadir, aku akan berusaha untuk mendapatkan senaskah buku ini untuk diriku sendiri. Dewan buka tepat 10 pagi, anda yang sampai 11 pagi tu, boleh kirim salam sahajalah. Percayalah bahawa anda tak ada dapat memiliki buku itu pukul 11 pagi.

Ini sebahagian wish list aku. Mungkin tahun ini tak banyak sangat. Kerana di rumah ini pun, buku yang masih belum aku baca, kalau disusun, mungkin lebih tinggi dari aku. 

Apa yang menarik pesta buku tahun ini? 


Untuk tahun 2018 ini, satu peningkatan drastik yang dibuat oleh pihak pengelola, iaitu PBAKL2018 kali ini akan ada Negara Tamu yang dinanti-nantikan oleh kebanyakkan penggemar buku, iaitu Indonesia. Seperti mana yang diketahui, Indonesia sangat kaya dengan buku, dan terjemahan buku yang sangat efektif. Tahun ini, aku sangat menantikan penerbitan Indonesia ke sini. Dalam poster yang diuar-uarkan oleh facebook KLIBF, terdapat rumah penerbitan yang aku sangat gemari iaitu Yayasan Obor, Gramedia, dan Mizan. Dua penerbitan ini menerbitkan buku ilmiah yang sangat banyak yang tentunya sudah diterjemah kepada Bahasa Indonesia. “Tak fahamlah Bahasa Indonesia, pelik-pelik bahasanya”. Mesti cuba dulu. Kalau kita boleh bersatu dalam perjuangan rendang ayam, masakan aneh kita nak memahami bahasa yang serumpun dengan kita? 



Tahun ini juga, Malaysia, tepatnya Kuala Lumpur dalam proses membida gelaran Ibu Kota Buku Dunia 2020 daripada UNESCO. Tahun 2013 dimenangi oleh Bangkok. Adakah mungkin kita negara ASEAN ke-2 untuk merangkul gelaran tersebut? Marilah kita sama-sama berdoa dan menyokong industri buku sekali gus menyokong hasrat kerajaan untuk menjadikan ibu kota Kuala Lumpur sebagai Ibu Kota Buku Dunia pada 2020 kelak. 

foto dari KLIBF


Tahun ini juga di PBAKL, mereka akan mengadakan Konvensyen Penulisan yang akan dibentangkan oleh para penulis mapan, penggiat seni, dan penulis antarabangsa. Boleh lihat detail di Konvensyen Penulisan Kuala Lumpur

Keyboard ini dipetik rasanya hari yang sama dengan pengumuman senarai penuh pempamer dipamerkan di dalam laman rasmi KLIBF (klik di sini). Jadinya anda dari sekarang dapat menentukan ke mana arah tuju anda pada acara ini. Buka laman web tersebut di sini untuk mengetahui senarai pempamer, nombor reruai, dan dewan mereka. Atau tekan sini untuk terus ke senarai pempamer.

Apa yang kita tunggu selepas senarai pempamer ini diberitahu ialah senarai ‘pentas’. Siapakah yang akan menguasai pentas utama PWTC pada waktu-waktu tertentu. Aku kira itu sangat penting kita lihat. Sebabnya selalunya apabila mereka berada dalam senarai pentas, mereka ini adalah penulis mapan yang mana penerbit sanggup untuk menempatkan penulis mereka berada di atas pentas yang sangat gilang-gemilang tersebut. 

Tips lain yang anda boleh lihat di laman blog aku yang mana aku tulis empat tahun lepas , anda boleh baca di sini. Mungkin tips ini agak ketinggalan seperti ‘ambil senarai pempamer di front desk’. Tahun lepas mereka tiada kertas senarai pempamer dan aku terpaksa menerangkan pada kebanyakkan pengunjung yang bertanya “di mana boleh dapatkan senarai pempamer?”. Tahun lepas mungkin mereka nak jimat dan paperless, mereka bangunkan satu aplikasi senarai reruai yang mana aku kira sangat cool dan mudah. Taip saja, keluar di mana, tingkat berapa. Tak perlu cari satu-satu dah. Dan disertakan juga fun game dan nombor cabutan bertuah. Aku harap pihak yang bangunkan aplikasi tersebut dapat update GUI dan sistem aplikasi tersebut dengan lebih baik berbanding tahun lepas, banyak bugs.

Untuk bacaan dari aku untuk setiap tahun Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur, anda boleh klik:
2015 - Tips Semasa Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur
2016 - Travelog Dua Hari di PBAKL2016 Berserta Catatan-catatan Poyo
2017 - 10 Hari PBAKL2017 Berserta Catatan-catatan Poyo

Untuk mendapatkan maklumat penting dengan kadar segera, anda boleh layari Facebook di @kualalumpurbookfair dan Instagram mereka @klibf.my. Jika anda berminat untuk menerima notifikasi, aku cadangkan untuk kau subscribe channel Telegram dengan carian @ShareInfoKLBookFair

Apa-apa pun, jumpa anda di sana. Dan jika melihat kelibat aku, say “hye Naim” dan kenalkan diri anda. Sebab aku ini jenis manusia yang tak cam muka orang.

Comments