Thursday, April 6, 2017

#IIDYKMU: Meraikan Perbezaan Agama


“Jika anda tidak bersedia untuk membaca idea-idea yang tidak anda suka dan setuju, anda tidak akan mendapatkan hikmah yang lebih tinggi”
– Irshad Manji, Faith Without Fear.

Minggu lepas aku menghadiri program Interreligious and Intercultural Dialogue for Youth (IIDY) anjuran Komuniti Muslim Universal (KMU) di Subang. Program dua hari ini sedikit sebanyak memberi input yang berguna kepadaku yang kini masih mengkaji mengenai perbandingan agama sama ada intra-agama atau inter-agama.

Program ini diorientasikan oleh Deklarasi Marrakesh yang baru sahaja ditandatangani oleh 120 sarjana yang diketuai oleh Syeikh Abdallah bin Bayyah dan Syeikh Hamza Yusuf. Sebelum aku menghadiri program #IIDYKMU ini pun, aku tidak tahu mengenai kewujudan deklarasi ini. Yang aku tahu hanyalah Amman Message.

Perkara utama yang aku dapat dari program ini ialah; bagaimana kita ingin hidup harmoni dengan pelbagai budaya dan agama. Tertarik dengan ucapan oleh Prof. Dr. Syed Farid Alatas mengenai keharmonian agama iaitu memerlukan sifat multicultural dan tidak hanya mempunyai toleransi. Victoria Cheng dari Projek Dialog yang mengutarakan bahawa kita memerlukan juga sikap ‘empati’ dalam diri kita untuk meraikan kepelbagaian budaya dan kepercayaan.

Ramai orang tertanya-tanya, bagaimana kita boleh ‘menghormati’ agama lain sedangkan di dalam Islam sendiri dilarang meredai agama lain selain Islam? Jawapannya aku sudah bahas dalam entry terdahulu. Tetapi aku ingin menulis khusus untuk entry ini pula.

Menghormati dan meredai adalah dua perkara yang berbeza sama sekali. Menghormati tidak semestinya meredai. Jadi, “bagi kami agama kami, bagi kamu agama kamu” sudah memberi penjelasan terhadap isu ini.

Kita didogmakan dengan pelbagai fitnah terhadap masyarakat Kristian dan lain-lain pegangan agama termasuk ‘ajaran sesat’. Kepercayaan karut seperti Holy Water yang jika diminum kita tidak dapat mengucap, kepercayaan ajaran sesat yang lain kini ingin mengambil alih Malaysia dari Ahli Sunah Wal Jemaah. Sebenarnya di manakah benarnya? Kami sendiri di dalam program ini menghadiri Sunday Prayer di salah sebuah rumah ibadat Kristian, dan selepas itu kami mengunjungi komuniti Ahmadiah (Qadiani) di Gombak.

LDK yang sangat progresif. Bagaimana kita ingin menyebarkan Deklarasi Marrakesh dalam komuniti?
(photo credit to facebook Komuniti Muslim Universal - KMU)

Tidak salah menghadiri atau mempelajari sesuatu bidang asalkan kamu mempunyai satu sifat ingin tahu dan dapat mengetahui baik dan buruk. Walaupun aku sendiri tidak bersetuju dengan sesetengah fahaman Ahmadiah, tetapi bagaimana mungkin aku ingin mencemuhnya dari masyarakat? Bagaimana kita seorang Muslim, yang ingin agama kita dihormati, tidak menghormati agama lain? Baiklah, jika kau tidak bersetuju dengan satu-satu fahaman sekalipun, biarkan mereka. Kita ada hak dengan agama kita, dan mereka ada hak dengan fahaman mereka. Kita tidaklah bodoh sangat sampaikan ingin merobohkan rumah ibadat mereka, dan memberi julukan yang menghina mereka. 

My Faith Is Humanity, Respect, & Tolerance.
Di hadapan gereja Kristian Lutheran.
(photo credit to facebook Komuniti Muslim Universal - KMU)

Aku lebih tertarik dengan kenyataan dari ustaz Wan Ji “dilarang melarang berdialog”. Jika kamu fikir kamu benar, mengapa nak takut? Amalkan kepercayaan kamu. Tegakkan kebenaran yang kamu anuti dengan berdiskusi, berdebat, berdialog dengan sekte lain, dengan agama lain. Iman kamu tidak selemah kulit bawang sehinggakan takut berjumpa dengan manusia yang menganuti fahaman lain. Aku yang pernah belajar di sekolah pondok ini pun terbuka dalam mendalami fahaman agama lain untuk mengetahui kebenaran sesuatu fahaman dan agama, tidak dari pihak ketiga.

Maaf tidak dapat menulis entry kali ini ini dengan baik. Cumanya aku ingin memberitahu bahawa ada komuniti yang meraikan kepelbagaian agama terutama agama minoriti. Percayalah apa yang kamu yakin, raikanlah berbezaan.

Walaupun berbeza pandangan dengan komuniti Ahmadiah (Qadiani), tetapi kami boleh berkumpul dan berdialog dengan aman.
(photo credit to facebook Komuniti Muslim Universal - KMU)

Maaf sekali lagi jika di program aku tidak mengambil bahagian dengan sepenuhnya. Di mana-mana program pun, aku tidaklah hyper kecuali ‘terpaksa’ dan ‘dipaksa’. Aku lebih minat mendengar dan mengamati dan pulang ke rumah, aku akan digest semua yang aku dapat di program tersebut. Jujurnya tidak cukup program dua hari ini, dan pihak KMU perlu ada agenda lain yang lebih besar untuk memberi impak terhadap masyarakat. Apa-apapun, tahniah KMU kerana dapat menjalankan program ini dengan jayanya.

No comments:

Post a Comment

komen dan kritikan amat digalakkan