Thursday, April 6, 2017

#IIDYKMU: Meraikan Perbezaan Agama


“Jika anda tidak bersedia untuk membaca idea-idea yang tidak anda suka dan setuju, anda tidak akan mendapatkan hikmah yang lebih tinggi”
– Irshad Manji, Faith Without Fear.

Minggu lepas aku menghadiri program Interreligious and Intercultural Dialogue for Youth (IIDY) anjuran Komuniti Muslim Universal (KMU) di Subang. Program dua hari ini sedikit sebanyak memberi input yang berguna kepadaku yang kini masih mengkaji mengenai perbandingan agama sama ada intra-agama atau inter-agama.

Program ini diorientasikan oleh Deklarasi Marrakesh yang baru sahaja ditandatangani oleh 120 sarjana yang diketuai oleh Syeikh Abdallah bin Bayyah dan Syeikh Hamza Yusuf. Sebelum aku menghadiri program #IIDYKMU ini pun, aku tidak tahu mengenai kewujudan deklarasi ini. Yang aku tahu hanyalah Amman Message.

Perkara utama yang aku dapat dari program ini ialah; bagaimana kita ingin hidup harmoni dengan pelbagai budaya dan agama. Tertarik dengan ucapan oleh Prof. Dr. Syed Farid Alatas mengenai keharmonian agama iaitu memerlukan sifat multicultural dan tidak hanya mempunyai toleransi. Victoria Cheng dari Projek Dialog yang mengutarakan bahawa kita memerlukan juga sikap ‘empati’ dalam diri kita untuk meraikan kepelbagaian budaya dan kepercayaan.