Jangan Takut Untuk Tahu!

photo credit to bigthink.com

“The enemy is fear. We think it is hate; but it is fear”
- Gadhi

Sebut saja ingin menceburi bidang baharu, ada dikalangan kita berasa takut dan paranoid sehinggakan menolak secara total perkara tersebut. Satu perkara yang baru kita hendak mulakan memang agak mencabar diri kita sebagai seorang manusia.

Entry kali ini aku ingin menulis mengenai penceburan diri dalam dimensi baru bagi seseorang manusia. Aku sendiri telah menceburkan diri dalam beberapa bidang dan juga dimensi yang agak berbeza dan boleh dikatakan radikal dari rakan-rakanku yang lain. Jadi apakah azimat yang aku gunakan untuk tidak berasa takut dan paranoid terhadap sesuatu perkara?

Bukan mudah untuk kita (aku) meyakinkan seseorang untuk menganut fahaman baru. Ada dikalangan rakan kita yang takut untuk bertemu dengan ramai orang, takut untuk memperkenalkan diri, takut untuk bercakap, takut untuk mempertahankan diri sendiri, dan yang paling parah lagi ialah ragu-ragu untuk menghadiri ke suatu majlis yang bukannya tidak baik, tetapi dia sendiri tidak dapat melawan perasaan takut dirinya itu.

Aku sendiri, telah melatih diriku merelakan diriku menganut dan memasuki beberapa mazhab pemikiran. Bagaimana? Memang kita ada sifat inferiority complex, tetapi sifat tersebut dapat dilawan.

Aku sering kali mengajukan kepada rakanku untuk menghadiri beberapa program di mana program tersebut bersifat wacana, perbincangan, pencerahan dan lain-lain. Dan rata-rata rakanku menggunakan dalil “malaslah”, “nanti kena perkenalkan diri sendiri”, “nanti kena bermesra dengan orang lain”, “nanti orang cakap kita noob”, “kalau dia pergi, aku ikut”, dan seribu-satu lagi helah dan alasan lain yang diberi.

Kenapa? Sebab memang manusia takut dengan perkara yang mereka tak tahu. Sophie’s World, sebuah novel falsafah terkemuka di dunia mengajukan persoalan “jika kamu melihat satu binatang yang kamu tidak pernah lihat, adakah kamu akan menyentuhnya?”. Persoalan hakiki tersebut perlu dijawab dengan tuntas. 

Aku sendiri ada sifat takut untuk menghadiri mana-mana program. Tetapi sifat ingin tahu dan ingin mendapatkan perkara/ilmu baru itu lebih penting bagiku ketimbang perasaan takut itu. Aku mempersetankan perasaanku sendiri. Kebanyakan wacana yang aku hadiri itu, aku akan mengkajinya sehabis boleh. Siapa penganjurnya, apa skop perbincangannya, siapa crowd-nya, apa yang mereka buat, dari mana link mereka, program apa sebelum ini mereka lakukan. Dan aku juga tak segan silu untuk bertanya kepada rakan-rakanku yang lain yang mana pernah menghadiri atau setidaknya tahu akan sesuatu wacana tersebut.

Aku amat hairan jika ada di antara manusia yang takut waima ‘pergi dan duduk’ sekalipun. Aku pun berbuat demikian jika program tersebut dihadiri oleh peserta bijak pandai yang kita sendiri telah akui keintelektualan mereka. Paling tidak, kau pergi! Ya, itu point aku. Apa-apa pun, aku pergi dan dengar dahulu. Kebanyakan mereka yang takut ini adalah mereka yang tak ingin mendengar.

Apa salahnya mendengar? Dan kemudian saringlah mengikut tahap akal kita sendiri. Jadi itu lebih menarik dan akal kita secara proaktif memproses dan digest mengenai sesuatu perkara. Paling tidak, hadirlah, dan diam sahaja. Persetankan manusia lain yang berkata kita noob kerana tidak bergaul dan berbual. Tapi di akhirnya, sekembalinya kita di rumah, kita akan menerima suatu perkara baru yang telah dimasukkan dalam otak kita. Sewaktu itulah kita akan proses maklumat tersebut menjadi satu ilmu.

Aku amat memarahi dan tidak suka terhadap orang yang mengatakan ‘tidak’ walaupun dia tidak tahu apa yang ingin dibincangkan oleh sesuatu crowd tersebut. Kita menghadiri suatu program bukanlah kita ingin menunjukkan kita alim dan berpengetahuan. Kalau nak tunjuk pandai, buat apa pergi program yang mana kita sudah pandai?

Hadir ke program dengan otak yang kosong lebih baik ketimbang menghadirkan diri dengan mulut murai yang mana di sana nanti orang boleh judged kita. Biar kita pergi dengan perasaan ingin tahu bukannya pergi dengan perasaan ingin memberitahu orang.

Man jadda wajada. Siapa bersungguh akan berjaya. Jadi, abaikan sifat takut. Abaikan hasutan rakan-rakan. Kita ada akal, kita boleh berfikir. Kalau nak pergi, pergi sahaja. Kalau tak nak pergi, bukan atas dasar kita takut. Pergilah atas dasar ingin tahu, itu lebih penting.

Comments

  1. Yes... mentaliti ini selalu ada pd mereka yg takut utk berubah... susah melainkan sendiri nak ubah

    ReplyDelete

Post a Comment

komen dan kritikan amat digalakkan