Friday, June 27, 2014

Sekolah Kluster Kecemerlangan: untuk siapa?

gambar sekadar hiasan. credit to nur_jihah instagram


Sebelum apa-apa, mari kita selami falsafah Sekolah Kluster Kecemerlangan. Sekolah kluster ialah satu jenama yang diberi kepada sekolah yang dikenal pasti cemerlang dalam klusternya daripada aspek pengurusan sekolah dan kemenjadian murid. Pewujudan sekolah kluster bertujuan melonjakkan kecemerlangan sekolah dalam sistem pendidikan Malaysia dan membangun sekolah yang boleh dicontohi oleh sekolah dalam kluster yang sama dan sekolah lain di luar klusternya.

Aku kadang-kadang terfikir, apa gunanya title sekolah kluster ini? Sekolah kluster ini untuk siapa sebenarnya? Adakah untuk pelajar? Atau untuk guru? Kalau untuk pelajar, apa yang pelajar dapat nanti?

Kita sedia maklum bahawa pendidikan itu penting? Tapi kita tak pernah tanya, kenapa sekolah itu penting?

Aku bukanlah nak perlekehkan title sekolah kluster ataupun dasar PIPP. Tapi aku masih keliru. Dulu sekolah aku pun sibuk nak kejar title ni. Tapi pentadbiran tak bagi tahu dengan details apakah yang akan kami (pelajar) dapat bila sekolah itu dapat title sekolah kluster.

Dalam buku Reformasi Pendidikan (jilid 1), ada dinyatakan mengenai sekolah BESTARI dan sekolah kluster.

Aku tak nak bahas apa yang ada dalam buku itu. Sebabnya aku nak suggest kamu semua cari buku itu, dan baca.

Aku teringat dialog dalam filem Gadoh; arahan Nam Ron. Di suatu babak akhir, ada seorang pelajar perempuan di atas pentas teater berkata “Aku benci sekolah ini. Semua orang di sekolah ini bodoh. Tak kiralah Melayu ke, India ke, Cina ke, semua bodoh. Aku datang sekolah nak belajar, tapi diorang (cikgu) sibuk nak naikkan ranting sekolah. Hei! Nak naikkan ranting sekolah untuk siapa? Untuk kami atau diorang?”

Di sini aku hampir faham, sekolah-sekolah yang berkejaran untuk rebut title sekolah kluster ini ada tujuannya sendiri. Tak nafikan juga untuk mengejar bantuan wang yang ratus-ratus ribu ringgit itu juga.

Tapi, kalau kita kembali falsafah pendidikan Malek Bennabi; pendidikan itu adalah memanusiakan manusia. Dengan sekolah kluster ini, adakah para pelajar dapat meningkatkan tahap intelek, rohani, emosi, dan jasmani?

Dalam sekolah kluster sekalipun, aku yakin dan percaya bahawa jurang diantara pelajar cemerlang dengan pelajar corot adalah lebar. Kelas dibahagikan mengikut gred pelajar. Macam telur la pulak aku nengok. Kadang-kadang macam robot. Aku tak nampak lagi apakah benafits kalau buat sistem kasta seperti ini. Yang aku nampak ialah; ia akan menyebabkan pelajar bersaing untuk mendapatkan sebeberapa banyak A dalam peperiksaan tanpa menolong pelajar lain yang lemah. Maka hilanglah sifat empati dan simpati dalam diri pelajar.

Kalau kita melihat model pendidikan di Finland yang diangkat sebagai sistem pendidikan terbaik abad ini, terdapat satu penumpuan yang jelas terhadap kesamarataan. Istilah kasta kelas pintar-corot tidak wujud sama sekali.

Jadinya, alangkah baiknya jika sesebuah sekolah itu mendapat sekolah kluster kecemerlangan, dan diberti autoriti tertinggi kepada pengetua atau guru besar, mansuhkanlah sistem kasta ini.

Kalau sistem kasta ini diteruskan, tak mustahil akan mengakibatkan pelajar akan bersifat material, ilmu hanya cukup buat diri sendiri dan bukan untuk masyarakat. Dapat straight A, masuk universiti, kerja bagus, dan hidup senang. Adakah itu maksud pendidikan terhad hanya kepada definisi sesempit ini?

Ustaz Hasrizal Jamil pernah berkata; anak-anak yang lulus cemerlang juga sebenarnya boleh dikira sebagai kegagalan sistem pendidikan. Maksudnya ada suatu perkara yang hilang di dalam pelajar tersebut yang diperjuangkan oleh Malek Bennabi, iaitu daripada menjadi robot yang berjaya daripada segi akademik dan ekonomi tetapi kosong tanpa roh, peri kemanusiaan, dan akhlak terpuji.

Paulo Freire pernah berkata “pembelajaran itu bukanlah penghadaman idea, tetapi mencipta dan mencipta lagi idea tersebut”. Ini tidak dipraktikkan dalam sekolah walaupun di sekolah kluster kecemerlangan. Pelajar dilarang bertanya, tapi diarah untuk mengikut. Guru-guru tak perasan perkara ini, tapi yang pasti aku perasan. Pelajar bukan lembu untuk 100% mengikut kehendak guru. Kenapa pelajar dihalang bertanya? Yang pasti guru tak nak status quo mereka terjejas akibat daripada persoalan yang diajukan oleh pelajar. 

Aku tertarik dengan teori Frants Fanon yang mana turut menyamakan golongan intelektual sebagai golongan yang dijajah oleh sistem yang menjajah. Guru diletakkan di hirarki paling tinggi dan dianggap seperti dewa yang tidak boleh disentuh. Para pelajar dilihat sebagai golongan tertindas, manakala sistem pengajaran sebagai yang menindas. Guru berada di kedudukan yang lebih tinggi, dan pelajar sekadar menerima di kedudukan yang lebih rendah. Guru dan pelajar tidak wujud sebagai satu unit yang bersama-sama mencapai tujuan akhir pendidikan.

Kaedah pembelajaran kini mengetengahkan guru sebagai watak utama, dan bukannya para pelajar. Guru seorang sosok yang ditakuti yang menyampaikan maklumat yang dianggap kebenaran mutlak kepada pelajar.

Para pelajar sebenarnya digalakkan bertanya dan berfikir. Tiada sistem yang akan dapat membendung sebuah masyarakat berfikir dan bergerak. Buktinya, sifat ingin tahu Barat telah membawa mereka hingga ke Marikh.

Freire juga ada memberi cadangan, iaitu konsep guru-pelajar. Yang mana guru yang belajar, dan pelajar yang mengajar. Einstein pernah berkata “saya tidak pernah mengajar para pelajar saya, saya Cuma menyediakan keadaan yang membolehkan mereka belajar”.

Di sini aku nak tegaskan bahawa, kalau sesebuah sekolah itu dapat title sekolah kluster sekalipun, kalau para pelajar mereka dapat kumpul straight A sekalipun, TAPI kalau menolok falsafah pendidikan yang diajukan oleh Malek Bennabi, maka sekolah itu dianggap gagal.

Sekolah kluster ini, aku bukan nak perlekehkan. Tapi jika ia tidak memberi manfaat kepada ‘rohani’ dan ‘emosi’ pelajar, maka ia bukanlah suatu sistem pendidikan yang baik. Aku berharap ‘sekolah itu’ tidak melahirkan lebih banyak robot yang hanya sekadar mengikut perintah tuannya, dan Homo Sapiens yang tak nak berfikir dan bergerak.

Guru-guru di sekolah juga, turunkanlah ego kamu semua. Kamu tak anggap diri kamu dewa, tapi kamu berperangai seperti kamu ini dewa. Kaunselor aku pernah berkata “Naim, kalau belakang baju kamu terkoyak, kamu tak nampak”. Guru belajar dari pelajar, dan pelajar belajar dari guru. Raikan sistem dua hala. Dan raikanlah pedadogi pendidikan cinta yang makin hilang dalam diri ‘robot-robot’ ini.

No comments:

Post a Comment

komen dan kritikan amat digalakkan