Tuesday, May 27, 2014

Disiplin

Kenapa kita duduk dalam sekolah kena berambut pendek?
Kena pakai kasut putih?
Kena pakai tali leher?
Kena berambut pendek dan bersikat?
Kenapa kena pakai baju putih dan seluar hijau gelap?

Ha? Peraturan? Disiplin? Untuk menerapkan disiplin?

Disiplin apa? Adakah dengan mengsturkturkan disiplin macam ni kita dapat menerapkan nilai-nilai kemanusiaan dalam diri pelajar? Pelajar ke sekolah untuk belajar ilmu dan menambah pengetahuan, bukannya nak skema gila babi masa dalam kelas. Aku selalu mention nama Malek Bennabi, beliau berkata “pendidikan adalah memanusiakan manusia”. (aku rasa quote ni ada di hampir kesemua post aku fasal pendidikan)

Kalau aku tanya balik soalan asas ni, mesti susah anda nak jawab: siapakah yang mengsistemkan peraturan macam ni?

Sistem masih tidak memahami erti pendidikan. Sekolah bukanlah satu-satunya tempat untuk kita belajar. Dan dengan penerapan disiplin-disiplin macam ni bukanlah satu jalan untuk memanusiakan manusia.

Di negera barat, pelajar sekolah tak ada la pakaian skema gila masa pergi sekolah. Mereka bebas berpakaian asalkan kemas dan sedap mata memandang. Mereka tidak ada waktu-waktu tertentu untuk masuk ke kawasan sekolah. Mereka boleh keluar sekolah pada waktu persekolahan.

Aku pelik, kenapa perlu masuk sekolah pada pukul 7:30 pagi (contoh), lepas tu kalau masuk lewat kena marah dan didenda? Lepas tu bila masuk sekolah, kita tak boleh keluar dah.

Tapi kenapa barat berjaya buat benda ni? Mengapa pelajar di negara mereka lebih ‘manusia’ berbanding pelajar di negara kita? Di mana titik pertemuan antara disiplin dengan ilmu?

Bila aku bertanya kenapa sistem kita buat macam ni, semuanya jawab “nak mendisiplin pelajar”. Dalam hati aku berkata, “abah kau!”.

Siapa yang ajar benda-benda ni? Aku bukan deny benda-benda ni, tapi kadang-kadang kita terlalu mendisiplinkan pelajar dari sudut material dan fizikal, dan kita abaikan sifat manusiawi itu sendiri.

Education is not all about skema gila babi bila masuk kelas, kena datang sekolah masa sekian-sekian, rambut kena sikat tepi. Tapi perangai rohaniah pelajar itu sendiri? Penerapan disiplin yang berunsurkan fizikal ini akan menyebabkan pelajar diajar menjadi hipokrit dan berada dalam projek pembodohan.

Kalau kita lihat pun, kalau kita habis tingkatan 5, kita akan menyambung pelajaran di peringkat sijil atau diploma, atau matrikulasi, atau yang sewaktu dengannya la kan. Tapi di dalam institusi pengajian tersebut, tak ada pun kena pakai baju putih setiap hari, kena sikat rambut belah tengah, pergi kena pukul sekian-sekian, lepas tu bila dah masuk kampus tak boleh keluar dah, dan macam-macam lagi la.

Lepas tu apa guna penerapan disiplin yang macam tu ketika di peringkat sekolah? Tapi di peringkat pengajian tinggi, tidak digunakan? Lepas tu buat apa belajar benda-benda tu? 

Kita kembali ke zaman dahulu sikit, Aristotle, Plato, Socrates, anda semua ingat mereka ni ada rambut sikat tepi ke? Anda semua ingat mereka ni semua belajar di sekolah yang macam kita ni ke? Ok lah, anda cakap tu zaman dahulu kan, sekarang zaman dah berubah. Tapi, jawab soalan aku, kenapa mereka ni dapat memanusiakan manusia walaupun diri mereka tu macam tu? Mereka pun belajar juga. Mereka pun tenaga pengajar juga.

Ok tak payah pergi jauh. Mr. Zukerberg kita ambil contoh, founder facebook tu. Anda semua ingat dia tu pass dalam exam ke? Bill Gates, yang sekarang ni ada Melinda and Gates Foundation, dia tak cemerlang pun dalam peperiksaan.

Aku nak cerita sikit kisah aku sewaktu menjadi pejar tingkatan 6 dulu.

Dulu waktu tingkatan 6, ada peraturan kena pakai seluar slack yang licin. Tapi masa tu aku pakai seluar slack jeans (yang kain macam seluar Dockers tu).
Lepas tu ada seorang cikgu ni panggil aku..
Cikgu: Kenapa awak pakai seluar ni? Kan saya dah cakap kena pakai seluar slack yang licin.
Aku: kenapa pula, cikgu?
Cikgu: Peraturan.
Aku: Ha?! Kenapa?
Cikgu: Awak tak payah banyak tanya, awak ikut je.

Seriuslly aku rasa macam budak-budak 6 tahun yang bertanya “mak, kenapa langit warna biru?” Lepas tu mak aku jawab, “ok jom makan nasi”

Aku rasa tertekan duduk di sekolah. Bila tanya cikgu, cikgu tak beri aku jawapan yang kukuh dan saintifik dan boleh diduga dengan akal yang sihat. Dalam kepala otak aku ni banyak timbul persoalan-persoalan kenapa-kenapa.

  1. Kalau tak pakai seluar slack licin tu, kenapa tak tak boleh?
  2. Kalau pakai seluar slack jeans ni nanti jadi jahat ke?
  3. Kenapa kena pakai seluar slack licin?
  4. Apa kebaikan seluar slack licin kepada pelajar?
  5. Macam mana pula dengan pelajar yang miskin dan hanya ada seluar slack jeans dan tak mampu nak beli seluar slack licin?

Aku bosan dengan “barang siapa yang banyak bertanya, maka lemahlah imannya”. Jangan gunakan agama sebagai projek pembodohan!.

Aku nak bukti saintifik, penjelasan yang masuk akal. Kenapa itu, kenapa ini. Kalau guru-guru pun tak dapat nak jawab, kenapa ada peraturan tu? Kalau anda tanya soalan tu kepada cikgu anda, nanti dia jawab “sudah ditetapkan”. (klise gila)

Tapi masalahnya, siapa yang menetapkan macam tu? Kenapa perlu ikut? Kalau tak ikut, nanti jadi anarkis ke pelajar sekolah ni? Kalau ikut, adakah kita dapat menyematkan sifat manusia dalam diri pelajar tu?

Kalau anda tanya cikgu-cikgu anda, mungkin mereka tak akan jawab, atau cakap jangan fikir. Lepas tu aku nak tanya, apa guna sekolah didirikan kalau tidak mengajar yang mana betul yang mana salah? Itu pertanyaan hakiki yang dipersoalkan oleh Praemodya Ananta Toer.

Kalau kita tanya, nanti cikgu cakap kita tanya soalan bodoh. Tapi sebenarnya cikgu tu yang tak tahu atau pun cikgu tu yang bodoh sebab mengikut projek pembodohan. Ramai orang cakap soalan-soalan bodoh ni akan memusnahkan manusia dan tak logik. Tapi sedarkah anda bahawa soalan-soalan bodoh ni adalah soalan-soalan asas?

Lantak anda lah nak cakap aku ni gila ke, anarkis ke, penentang kerajaan ke, balaci pembangkang ke, tapi aku luahkan apa yang aku rasa dalam hati. Berani jika benar. Ini yang aku rasa, ini yang aku lalui.

Sejujurnya aku tak puas berada di sekolah, aku masih nak bersekolah. Tapi oleh sebab sistem yang sucks tu, sekolah menjadi seperti penjara dan projek pembodohan. Aku tak tahu di mana titik pertemuan ‘ilmu’ dengan ‘sekolah’, itu masih menjadi persoalan di benak fikiran aku.

Jika sesebuah pendidikan itu tidak berjaya memanusiakan pelajar, maka ia bukan pendidikan. Sama juga dengan agama, jika agama tidak mampu memupuk masyarakat untuk ke arah lebih baik, maka itu adalah agama yang haprak. Maka itu, akan timbul persoalan, jika kita di landasan pendidikan yang benar, siapa yang patut dipersalahkan? Maka jawapannya adalah SISTEM.

Sistem mengongkong pelajar. Sistem membuatkan pelajar takut. Sistem membuatkan guru-guru mengajar pelajar sekadar ingin pelajar itu berjaya dalam peperiksaan sahaja. Sistem tidak mengajar pelajar asas-asas manusia.

Di Malaysia, sistem pendidikan kita masih mengikut falsafah pendidikan negara yang ada kontranya itu. Sistem kita tidak berteraskan pedagogi pendidikan cinta.

Ada sekolah yang mengenakan hukuman bayaran jika pelajar melanggar peraturan disiplin. Contohnya kalau tak pakai nametag, kena denda RM2. Aku hairan, adakah dengan sistem ini, guru akan dapat menanusiakan manusia? Khoer Jurzani ada berkata "Jika kau bekerja hanya untuk menumpuk uang, maka kau tidak lebih dari sebuah mesin". Kita boleh kiaskan di sini, jika pelajar didenda sebegitu rupa, adakah itu akan menjadikan pelajar itu lebih disiplin?

Masalah sekarang, kenapa perlu didenda dengan wang?

Owh, wang itu dimasukkan dalam tabung surau. Patutlah. Kenapa perlu guna duit pelajar? Adakah kerajaan atau jabatan pendidikan kita miskin? Nak buat apa duit tu? Kenapa duit pelajar? Dan kenapa duit dari denda? 

Tapi, apa function kepada disiplin pelajar itu sendiri? Tidakkah pelajar akan memberontak? Dan bukan semua pelajar itu kaya. Persetakan ayat klise "dah kalau tahu kena denda, jangan buat salah". Itu bukan point aku. Point aku ialah ADAKAH DENGAN DENDA RM2 INI AKAN MENYEBABKAN PELAJAR ITU TERSELERLAH SIFAT MANUSIANYA?

Matlamat tidak menghalalkan cara. Bukan masalah halal atau haram, tapi masalahnya adakah dengan cara itu, matlamat itu tercapai?

No comments:

Post a Comment

komen dan kritikan amat digalakkan