Cooling off period

photo credit to namkhainorbu

Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) mengumumkan beberapa langkah untuk pembaharuan perjalanan pilihanraya di Malaysia. Di antara pembaharuan yang ingin dilakukan adalah memperkenalkan sistem pengundian awal dan “cooling off period” atau tempoh tenang selama dua hari.

Dalam penulisan kali ini, saya ingin membincangkan terlebih dahulu mengenai “cooling off period” atau tempoh bertenang. Sistem pengundian awal mungkin akan saya bincangkan dalam penulisan akan datang.

Cooling off period” atau tempoh bertenang adalah hari di mana semua kempen pilihanraya baik daripada parti politik mahupun daripada calon yang bertanding akan dihentikan untuk memberi ruang kepada pengundi-pengundi bertenang dan memikirkan mengenai calon atau parti politik yang ingin mereka pilih setelah menyaksikan kempen pilihanraya dalam sesuatu tempoh berkempen yang ditetapkan.

Amalan ini telah dilaksanakan oleh negara-negara jiran kita di Asia Tenggara seperti Indonesia, Thailand dan Filipina. Malahan Afghanistan juga telah melaksanakan amalan ini bermula dari Pilihanraya Presiden yang pertama pada tahun 2004.

Akan tetapi, perlu diingatkan bahawa, untuk melaksanakan tempoh bertenang dalam pilihanraya, tempoh berkempen yang diberikan juga seharusnya mencukupi.

Sebagai contoh, tempoh berkempen bagi pilihanraya parlimen di Indonesia pada tahun 2009 ialah selama 20 hari. Di Filipina pula, bagi pilihanraya bulan Mei 2010 ini, tempoh berkempen bagi pilihanraya presiden, timbalan presiden, senator dan party list bermula dari 9 Febuari dan berakhir pada 8 Mei. Ini bermakna, tempoh berkempen yang diberikan ialah selama 89 hari!

Ertinya, setiap calon yang bertanding dan parti politik sama ada yang besar atau kecil mempunyai masa yang cukup untuk berkempen. Tempoh berkempen yang mencukupi diperlukan juga bagi pengundi untuk mempelajari dan memahami perjuangan parti-parti politik dan calon yang bertanding dalam sesuatu pilihanraya tersebut.

Untuk melaksanakan tempoh bertenang, selain daripada memerlukan tempoh berkempen yang mencukupi, setiap parti politik dan calon yang bertanding juga seharusnya mendapat liputan yang seimbang daripada media cetak mahupun elektronik.

Negara-negara yang mengamalkan tempoh bertenang seperti Indonesia, Thailand dan Filipina, semua parti politik dan calon yang bertanding mendapat laporan yang seimbang daripada media. Selain daripada itu, mereka juga boleh membeli iklan di akhbar, radio dan televisyen.

Debat-debat diantara calon dan wakil daripada parti politik juga dibenarkan menyemarakkan lagi suasana pilihanraya itu sendiri.

Dengan ini, pengundi-pengundi akan mempunyai maklumat yang mencukupi dan mereka boleh menilai parti-parti politik dan calon yang bertanding sebelum membuat keputusan untuk mengundi.

Jika tempoh berkempen yang diberikan mencukupi dan media memberikan laporan yang adil dan seimbang kepada semua parti politik dan calon yang bertanding, kemungkinan besar ramai pihak akan menyokong cadangan SPR ini.

Jika tempoh bertenang dilaksanakan tanpa memanjangkan tempoh berkempen dan tidak ada langkah yang dilaksanakan bagi memastikan media memberikan laporan yang adil dan seimbang kepada semua parti politik dan calon yang bertanding, masalah besar akan melanda.

Parti-parti politik atau calon yang tidak mempunyai masa yang mencukupi untuk berkempen dan tidak mendapat liputan daripada media sudah tentu tidak akan berpuas hati.

Oleh yang demikian, sebelum SPR mahu melaksanakan cooling off period atau tempoh bertenang, adalah wajar untuk SPR mengadakan perbincangan dengan parti-parti politik, NGO yang berkaitan dan Institusi Akademik agar pandangan-pandangan boleh diperolehi dan perlaksanaan peraturan baru dalam pilihanraya dapat diterima oleh semua pihak.

SPR boleh mengadakan perbincangan tertutup atau terbuka dengan menetapkan sesuatu tarikh, waktu dan lokasi agar wakil-wakil dari semua parti politik, NGO yang berkaitan dan Institusi Akademik boleh hadir untuk bersama-sama membantu SPR dengan memberikan pandangan-pandangan yang bernas untuk memastikan pilihanraya di Malaysia berjalan dengan telus, terbuka dan adil kepada semua pihak yang bertanding dan juga pengundi.

SPR boleh diumpamakan sebagai pengadil dalam permainan bolasepak. Jika pengadil menjalankan tanggungjawab secara professional dan adil, kedua-dua pasukan yang bertanding akan berpuas hati. Penonton juga akan berpuas hati.

Jika pengadil tidak professional dan memihak kepada sesebuah pasukan, sudah pasti pasukan yang satu lagi akan marah dan penyokong mereka akan mengamuk.

Sebagai pegadil yang adil dan professional, SPR perlulah melibatkan semua “stakeholder” dalam pilihanraya seperti parti-parti politik yang bertanding, NGO yang berkaitan dan Institusi Akademik sebelum menggubal sesuatu peraturan yang baru. Jika ini dilakukan, perubahan peraturan dalam pilihanraya akan lebih mudah diterima oleh “stakeholder” yang terlibat sekaligus menunjukkan keikhlasan SPR untuk memperbaiki perjalanan pilihanraya di Malaysia.

rujukan:

Amin Iskandar. 2013. Ini Bukan Klise. Selangor. GerakBudaya Enterprise

Comments