Tuesday, December 17, 2013

Perhambaan mahasiswa dan jalan-jalan kebahagiaan

photo credit to langitilahi
Mahasiswa jika dirujuk sejarah dan pencapaiannya di seluruh pelosok dunia, ia menjadi satu kuasa yang utuh bagi menggerakkan dan menggertak apa jua halangan melalui idea-ideanya. Peristiwa Tiananmen Square, Revolusi Iran oleh Khomeini yang didukung oleh gerakan mahasiswa dan terbaru, di University of Manchester berkenaan rombakan semula silibus ekonomi oleh mahasiswa di sana. Tidak kurang hebatnya di Malaysia, Peristiwa Baling adalah antara sejarah yang terpasak kuat dan hangat dibincangkan apabila sejarah mahasiswa dirungkai semula.


Hari ini, kebebasan mahasiswa untuk berfikir dan bergerak telah dirantai sistem pendidikan dan pentadbir universiti. Mahasiswa tidak lagi menjadi ulul albab untuk diri mereka dan masyarakat, bahkan ia menjadi hamba kepada kebekuan dan kebebalan sistem itu sendiri.

Perhambaan mahasiswa terhadap sistem pendidikan memberi impak kepada idealisme yang seharusnya menjadi asas kepada hala tuju perjuangan dan peranan merubah intelek masyarakat. Kita tidak mampu berfikir secara rasional dan terbuka apabila membincangkan sesuatu isu bahkan hanya mampu menembusi ruang awam hanya apabila ia selari dengan apa yang pentadbir dan kerajaan inginkan. Idea-idea yang radikal dan kiri ataupun yang merentasi arus perdana tidak diraikan bahkan dihalang diskusinya daripada dihadap dan dihadamkan oleh orang awam.

Ini bukan dongengan semata, sepertinya kita terkejar-kejar memahatkan nama dan taraf di Malaysia Book of Record dalam acara roti jala terbanyak, donut terbesar dan sebagainya. Kita tidak menafikan ada natijah yang baik untuk acara tersebut, tetapi kemuncak intelektual mahasiswa adalah ia mesti memberi impak yang baik dan menyeluruh kepada ruang awam dan masyarakat terutamanya golongan-golongan yang tertindas.

Sudah sampai masa kita berhenti mengejar populariti dan rekod yang kurang nilainya, dan bangkit bersama-sama di dalam satu barisan memperjuangkan hak-hak rakyat dan golongan pekerja yang diragut secara zalim oleh golongan pemodal dan politikus.

Kita sewajarnya tidak lagi menjadi pembuat donut dan roti jala, tetapi harus bersama-sama membentuk solidariti tanpa mengira agama dan bangsa, bahkan perbezaan ideologi harus diketepikan bagi menegakkan keadilan sejagat.

Mahasiswa kini perlu merentap dan meleraikan tali perhambaan yang sedang menjerut setiap diri mereka bagi memecahkan bebalisme yang bertakung di akal buat sekian lama melalui pembacaan dan proses berfikir.

Kita mesti merenung kembali makna epistemologi pendidikan yang bukan sekadar mendapat gred yang tinggi, ataupun menyertai aktiviti kebajikan yang ‘sekali seumur hidup’ sifatnya, ataupun hanya sekadar duduk di kamar, tetapi ia sangat berkait rapat antara idealisme dan aktivisme yang dilaksanakan atas rasa tanggungjawab sebagai masyarakat madani.

Saya memetik apa yang disebut oleh Hamka,

“Jika hidup cuma sekadar hidup, kera dihutan juga hidup, Jika kerja cuma sekadar kerja, babi dihutan juga bekerja”

Ini merupakan satu peringatan keras terhadap manusia oleh Hamka di dalam sisi kehidupan kita, tak boleh tidak kita mesti mengetahui maksud sebuah kehidupan mesti mempunya tujuan hidup yang jelas menggunakan akal kurniaan Tuhan.

Mahasiswa itu jika masih layu jiwa mereka dengan ketakutan pentadbir serta masih beku akal mereka untuk berfikir, kita tidak lebih mulia maruahnya berbanding babi dan kera. Proses pendidikan mestilah berlaku persoalan dan jawapan pada setiap idea yang terukir di minda.

Sifatnya tidak boleh pasif dan statik, ia mesti bergerak dan berputar untuk ia dikritik dan dihujahkan kerana idealisme yang gagal dihujahkan secara kritikal, hanya menambah kebodohan yang sedia ada membelenggu mahasiswa.

Idealisme tidak boleh dicapai dengan hanya duduk bangun harinya hanya sebuah jadual yang disusun seperti robot. Ia mesti melalui pembacaan yang berterusan dan ia mesti melalui proses berfikir.

Capaian maklumat yang pelbagai ditambah dengan bahan bacaan yang meliputi pelbagai dimensi akan menjelmakan pelbagai idea hasil dari proses berfikir. Kemudian idea itu mesti dihamparkan kepada ruang awam untuk diskusi dan proses kematangan di dalam berbeza pandangan.

Makanya, mahasiswa hari ini perlu menembusi khalayak dengan membincangkan secara kritikal idea-idea falsafah oleh sarjana barat mahupun timur, bahkan teori Karl Marx yang sering dimomok sebagai pengancam keselamatan negara perlu didebatkan untuk catatan akademik.

Persoalannya, bersediakah mahasiswa harini berdiri di atas idealisme mereka sendiri tanpa perlu dipaksa oleh mana-mana pihak serta ke mana idealisme harus disalurkan?

Saya masih mengimpikan suatu hari blok Pro-Mahasiswa dan Pro-Aspirasi di universiti berjaya dipecahkan, pada masa yang sama mahasiswa bekerjasama dengan mengenepikan perbezaan idealisme, bangkit memperjuangkan hak golongan yang memerlukan.

Inilah jalan-jalan kebahagiaan yang harus dilakar mahasiswa untuk rakyat marhaen. Jalan yang mereka impikan untuk duduk sama tinggi bersama rakyat lain tanpa perlu dibebani tekanan yang rencam.

Tanggungjawab membina jalan-jalan kebahagiaan terletak di bahu setiap diri mahasiswa. Ia bukan satu paksaan, tetapi tanggungjawab moral atas kesedaran ilmu berdasarkan idealisme itu mesti menegakkan yang hak, dan menghancurkan kezaliman.

Apa guna idealisme dan aktivisme tanpa ada hubungan nilai-nilai kemanusiaan atas rasa cinta dan tanggungjawab. Tuhan mengajarkan nilai kasih sayang kepada hamba-Nya melalui Nabi yang diutuskan, rugilah kita jika menafikan ajaran Tuhan itu kerana cinta dan kasih sesama manusia akan membawa kepada kepada redha Tuhan.

Jalan kebahagiaan itu harus dibina melalui kesedaran yang berterusan untuk golongan mustadafin dan golongan memerlukan. Siapakah mereka? Mereka adalah OKU, anak-anak miskin, anak yatim, pekerja yang dicabul hak mereka, orang orang asli, dan sebagainya. Mahasiswalah yang akan memberi sinar harapan kepada mereka tatkala politikus masih sibuk bercakaran di parlimen memperjuang isu isu populis, seluruh mahasiswa di Malaysia berdiri bersama sama memperjuangkan keadilan. Inilah jalan kebahagiaan yang harus dijelmakan.

Jalan-jalan kebahagiaan itu mesti dijana oleh idealisme mahasiswa yang pelbagai, diadun dengan semangat sukarelawan yang kental atas nama cinta dan tanggungjawab kepada rakyat marhaen. Ia merupakan dakwah yang mesti ditonjolkan oleh setiap mahasiswa tanpa dibezakan agama mahupun warna kulit.

Kita mesti keluar dari kepompong kesenangan dan keselesaan dengan hanya dengar dan taat tanpa mampu berfikir secara kritikal dengan turun ke lapangan masyarakat.

Hari ini, anak yatim dan miskin yang ketinggalan natijah daripada pengkastaan sistem pendidikan Malaysia bukanlah cerita dongeng. Ia berlaku tatkala kita pada hari ini sedang bergaduh memikirkan Jemaah mana yang sewajarnya menjadi pemimpin di IPTA.

Rugilah sebuah nusa bangsa yang jumlah mahasiswa yang tidak kurang daripada 100,000 orang tidak mampu menyantuni anak anak yang kurang bernasib baik itu dengan kemahiran yang kita ada.
Tanggungjawab membina jalan kebahagian perlu dipasak di hati dan akal mahasiswa sebagai kewajiban mengeluarkan masyarakat daripada kegelapan kepada pelita pengetahuan.

Isu OKU yang sering dipandang remeh bukanlah perkara baru bahkan ia sering dilaungkan oleh media tetapi sejauh mana mekanisme penyelasaian dapat dilaksanakan. Parti politik sepertinya tidak serius menangani masalah yang berlaku dalam kalangan OKU disebabkan ia tidak menguntungkan periuk nasi mereka.

Statistik yang dikeluarkan oleh JKM pada tahun 2011 seramai 300 ribu OKU yang berdaftar diseluruh Malaysia. Nah, maka inilah tugas kita sebagai mahasiswa bangkit bersama sama dengan OKU untuk menuntut bukan sekadar hak, tetapi mekanisme yang serius untuk meraikan golongan OKU dalam masyarakat.

Jalan kebahagiaan itu bukanlah Utopia semata tetapi memerlukan pengorbanan daripada segenap ruang idea dan keringat mahasiswa Malaysia.

Mahasiswa perlu sedar saban hari, ketika kita masih membincangan perkara remeh-temeh, sibuk memeriahkan forum cinta, dan bersikap reaksionari di atas kejahilan memahami epistemology barat, orang miskin, gelandangan serta anak-anak yang memerlukan. Mereka akan jauh ketinggalan jika kita tidak mengorak langkah membela nasib mereka dengan membina jalan-jalan kebahagiaan.

Sudah sampai masa blok kepartian yang diwarisi daripada politik luar dihapuskan untuk menjadi generasi mahasiswa yang waja semangat, luhur sifat serta punya akal yang cerdas untuk berfikir dan berdialog tanpa perlu takut hidayahnya akan ditarik hanya melalui cakap cakap kosong. Perhambaan idea akan terhapus melalui keberanian berfikir yang akhirnya menguntungkan masyarakat marhaen dengan membina jalan-jalan kebahagiaan.

Bersediakah kita?

Fikry A. Rahman
* Penulis adalah seorang mahasiswa UIA dan merupakan Presiden Kelab Mahasiswa TFTN. Beliau menyahut cabaran Anas Alam Faizli bahawa UIA bukan hanya kilang donut.

No comments:

Post a Comment

komen dan kritikan amat digalakkan