Saya Tak Ada Duit, Macam Mana Nak Bantu GAZA?

photo ping to langitilahi

Assalamualaikum semua warga blog naimalkalantani.com. Dunia kini sedang kecoh isu Palestin kena serang dengan Israel LAKNATULLAH. Kita di sini hanya mampu berdoa dan mmberi sumbangan. Ok. Sekarang aku nak sharing post dari LangiIlahi milik pengarang novel terkemuka Malaysia, iaitu saudara Hilal Asyraf... Mempersembahkan post beliau:

Semua sedia maklum, bahawa saudara kita di Gaza sekarang sedang galak diserang oleh rejim zionis Israel bermula malam 1 Muharram 1434H. Sekarang, usaha-usaha untuk membantu saudara kita di sana sedang berjalan dengan hangat. Antara yang mengusahakan bantuan adalah NGO HALUAN di bawah bironya HALUANPalestin dan Aqsa Syarif. Kami di LangitIlahi.Com berusaha apa yang kami mampu untuk memberikan kesedaran akan hal ini, mempromosikan derma dan sebagainya.

Tetapi ada yang bertanya kepada saya dengan nada yang hiba:

“Saya tiada duit, macam mana nak bantu Gaza?”

Nampak niatnya yang menggunung tinggi. Nampak cita-citanya untuk membantu sahabat-sahabat di Gaza sana. Murni. Suci. Rasa sedih kerana melihat dirinya tidak mampu menyumbang dari segi kewangan. Namun dia tidak berdiam diri dan redha begitu sahaja. Dia mencari, mencari jalan bagaimana nuntuk menyumbang juga.

Tahniah!

Maka di sini saya ingin utarakan beberapa idea.



Sumbangan Itu Bukan Semata-mata Wang. Tetapi Juga Tenaga!

Apa yang saya yakin adalah, bukan semua orang akan mampu menyumbang melalui wang. Ini jelas apabila sahabat-sahabat Rasulullah SAW sendiri mengadu kepada Rasulullah SAW akan ketidak mampuan mereka untuk beramal melalui kewangan.

Daripada Abu Zarr RA(beliau meriwayatkan): Bahawa sebahagian sahabat Rasulullah SAW berkata kepada Nabi SAW: “Wahai Rasulullah! Orang-orang kaya telah mendapat banyak pahala. Mereka solat sebagaimana kami solat, mereka berpuasa sebagaimana kami berpuasa dan mereka bersedekah dengan lebihan harta mereka.” Baginda bersabda: “Bukankah Allah telah menjadikan bagi kamu sesuatu yang kamu boleh bersedekah dengannya? Sesungguhnya dengan setiap kali tasbih itu adalah sedekah, setiap kali takbir itu adalah sedekah, setiap kali tahmid itu adalah sedekah, setiap kali tahlil itu adalah sedekah, menyuruh amar ma’aruf itu sedekah, menegah mungkar itu sedekah dan pada kemaluan seseorang kamu pun adalah sedekah.” Mereka bertanya: Ya Rasulullah! Adakah apabila salah seorang kami melepaskan syahwatnyapun dia beroleh pahala? Baginda bersabda: Bagaimana pandangan kamu kalau dia melepaskan syahwatnya pada tempat haram, adakah dia berdosa? Maka demikian jugalah apabila dia melepaskannya pada tempat yang halal, dia beroleh pahala.

Maka jelas telah ditunjukkan kepada kita bahawa sedekah itu, sumbangan itu, bukan bermakna pada harta sahaja. Amar ma’ruf nahi munkar(menyeru kepada yang baik dan menegah dari yang mungkar) juga adalah sedekah. Justeru, untuk Gaza, juga saudara-saudara kita yang teraniaya di Syria dan Rohingya, kita boleh melakukan sumbangan walaupun kita tiada wang.

Persoalannya, bagaimana?



Anda Ada Apa?

Anda seorang Vlogger?

Menyumbanglah melalui Vlog anda. Cakaplah apa sahaja berkenaan Gaza di Vlog anda. Ringkas pun tidak mengapa. Seterusnya promosikan sumbangan kepada Gaza melalui Vlog anda.

Anda seorang Pelukis Komik?

Menyumbanglah melalui Komik anda. Lukislah berkenaan Gaza. Perjuangan Mujahidin. Kesengsaraan anak-anak Palestin. Apa-apa sahaja yang boleh memberikan kesedaran, pencerahan, kepada yang membaca komik anda. Kemudian jangan lupa promosikan sumbangan kepada Gaza melalui komik anda itu.

Anda seorang Blogger?

Menyumbanglah melalui artikel-artikel anda. Blog anda itu, bannernya boleh ditukarkan kepada promosi derma. Artikel-artikel anda membicarakan berkenaan Gaza. Bangkitkan kesedaran melalui artikel-artikel anda.

Anda seorang pengkarya?

Anda suka menulis cerpen dan puisi? Maka tulislah cerpen berkenaan perjuangan di Gaza, kesengsaraan di sana. Tulislah puisi untuk menyedarkan orang ramai akan keadaan mereka di sana. Kemudian jangan lupa untuk promosikan juga bantuan kepada Gaza sana.

Anda seorang designer?

Anda suka design poster? Maka designlah poster-poster yang boleh meningkatkan kesedaran masyarakat akan situasi saudara-saudara kita di Gaza sana. Sambil mempromosikan bantuan derma kepada Gaza sana.

Anda pandai menyanyi?

Maka buatlah satu-dua lagu untuk Gaza. Bukankah itu sumbangan juga?

Anda Tak Ada Apa-apa?

Susah sebenarnya untuk zaman ini seseorang itu tidak punya apa-apa. Paling kurang, masyarakat sekarang ada Facebook. Jika anda tidak punya mana-mana talent yang saya cakapkan dalam subtopik sebelum ini, maka bantulah dengan promosikan sumbangan untuk saudara-saudara kita di Gaza itu melalui email, di Facebook, di Twitter anda.

Yang penting, jangan langsung tidak buat apa-apa.

Diam bukan pilihan kita!



Penutup: Menyumbanglah. Jangan Sampai Kita Ditanya Oleh Mereka!

Negara kita tidak diuji dengan peperangan. Maka janganlah sampai Allah berikan kita peperangan, baru kita nak faham betapa deritanya saudara-saudara kita di Gaza sana. Maka janganlah berdiam diri. Menyumbanglah. Sesungguhnya mereka di Gaza itu saudara kita.

Allah SWT berfirman dalam Surah Al-Hujurat ayat 10: “Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu bersaudara.”

Maka lakukanlah sesuatu.

Jangan sampai nanti di akhirat, yang menghalang kita masuk ke syurga adalah anak-anak Gaza yang mengadu kepada Allah, bahawa kita telah memalingkan wajah kita daripada mereka.

Rasulullah SAW berpesan dalam sabda baginda:

“Tidak beriman seseorang kamu sehinggalah dia mencintai saudaranya sebagaimana dia mencintai dirinya.” Hadith Riwayat Bukhari.

Mari sama-sama menyumbang apa yang boleh!

Comments